rap

Syuhada tangguh demi ayah terlantar

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI Syuhada Md Amin, 21, menangguhkan seketika urusan promosi dan publisiti single terbaru, Tak Kena disebabkan bapanya, Md Amin Bahari, 63, mengalami masalah kesihatan.

Md Amin baru-baru ini dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut selepas disahkan mengalami jangkitan kuman di paru-paru.

Syuhada berkata, sebagai anak bongsu dan masih belum berkahwin, menjadi tanggujawabnya menjaga bapa yang sakit.

"Keputusan ini juga dibuat atas permintaan keluarga yang meminta saya memberi perhatian pada urusan penjagaan ayah di hospital.

"Bolehlah juga saya dan ibu, Habibah Raja Tan, 56, saling membantu menjaga ayah setiap hari. Tidak eloklah harapkan ibu seorang saja," katanya

Kata Syuhada, bapanya tidak hanya mengalami jangkitan kuman di paru-paru tetapi berhadapan dengan masalah beberapa komplikasi penyakit lain.

"Usia ayah pun makin meningkat, memang mudah untuk dia menghidap sebarang penyakit.

"Saya pula masih tinggal bersama ibu bapa, sudah tentu tidak boleh mengharapkan emak saja yang menjaga ayah sepenuhnya di hospital. Adik- beradik lain pula sudah berkeluarga.

"Saya perlu berkorban kerana emak pun kena juga menjaga kesihatannya. Nanti, jika kedua-dua mereka jatuh sakit dan kurang sihat, saya bersama adik-beradik lagi susah hati," katanya.

Syuhada berkata dia dengan rela hati membuat keputusan menangguhkan urusan promosi dan publisiti single Tak Kena ciptaan komposer DJ Fuzz itu demi keutamaan pada keluarga.

"Kalau saya sibuk bekerja pun, hati mesti tidak tenang memikirkan keadaan kesihatan ayah dan keselesaan ibu sepanjang berada di hospital.

"Walaupun saya tahu karier nyanyian baru hendak menyerlah dan nama pun mula dikenali peminat tetapi keluarga terutama ibu bapa adalah perkara penting dalam hidup saya," katanya.

Single Tak Kena adalah taruhan ketiga Syuhada selepas Bukan Dia berjaya melonjakkan nama dan karier nyanyiannya tahun lalu.

Syuhada yang pernah dinobatkan juara Idola Kecil musim pertama (IK1) terbitan TV9 berkata, biarpun kini bapanya sudah dibenarkan keluar hospital dan berehat di rumah tetapi perhatian rapi harus diberikan.

Katanya, dia juga perlu membawa bapa menjalani pemeriksaan kesihatan bulanan di hospital hingga disahkan doktor sudah pulih sepenuhnya.

#kw - Syuhada tangguh promosi single

#loc- Kuala Lumpur

Disiarkan pada: August 18, 2017 @ 11:39am
d