rap

Ikhlas puas tahan maki

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Dilayan bagai sampah atau lebih kasar, ‘anjing’, bukan perkara baru buat pelakon, Ikhlas Jalil, 25, yang mula dikenali melalui drama Cinta Si Wedding Planner.

Sesudah hampir empat tahun bergelumang dalam industri, Ikhlas atau Hizatul Ikhlas Abdul Jalil membuat banyak pemerhatian terhadap artis baru dan lama yang aktif dalam industri.

Selalu kita dengar artis baru tidak pandai bergaul dengan artis senior tetapi berbeza pula apa yang dilalui Ikhlas. Dia akui tidak berapa gemar cara artis baru dilayan seolah-olah tiada kerjasama antara dua golongan itu. Katanya, tidak salah kalau mana-mana pihak memulakan ‘sapaan’ terlebih dulu.

“Antara pengalaman ‘tragis’ pernah dilalui, saya pernah cuba bertegur sapa dengan artis lama tetapi tidak mendapat respons yang baik.

“Saya bukan anjing dalam industri, cuma artis baru yang cuba memberi kerjasama dengan semua pihak bagi melancarkan perjalanan sesebuah penggambaran,” katanya.

Kata Ikhlas, adab yang baik boleh memberi nilai tambah kepada semua artis dan situasi yang dilaluinya dulu tidak patut menjadi amalan jika mahu menjadikan industri hiburan sihat.

Disebabkan itu, Ikhlas teringin menjadi artis yang menghormati dan dihormati semua pengkarya. Andainya ada yang lupa diri, selayaknya golongan itu disekolahkan.

“Artis kena ingat bahawa yang menaikkan kita adalah orang sekeliling. Tidak cuma stesen TV dan media sosial, juga kru, pelakon pembantu, pelakon tambahan dan peminat.

“Kita tidak boleh lupakan mereka sebab tanpa sokongan dan kerjasama mereka, tidak mungkin artis berada di tempat mereka sekarang,” katanya.

Pemegang Diploma Penyiaran dan Filem Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU), Ikhlas tidak putus-putus memuji beberapa nama besar dalam industri yang disifatkan mempunyai sikap bagus dengan semua pihak yang disebutkan tadi.

Antara mereka Shaheizy Sam, Adi Putra dan Zaidi Omar kerana mereka disifatkan sentiasa terbuka untuk memberi tunjuk ajar serta menghormati pelakon baru sepertinya.

Katanya, ketika penggambaran drama Cinta Si Wedding Planner (CSWP), Adi Putra pernah mengajarnya untuk melakukan kajian sebelum masuk ke dalam set penggambaran. Terutama kajian terhadap babak dan perwatakan.

“Tujuan saya masuk ke dalam industri kerana minat dan pada masa sama, mempelajari selok-belok dalam industri sebelum memegang impian bergelar pengarah pada masa depan.

“Pun begitu, saya akui sukar kerana wujud sikap-sikap negatif yang hampir menjadi barah dalam industri. Disebabkan hal itu, saya terpaksa meletakkan kesabaran pada tahap tinggi,” katanya.

Mungkin berkat sering bersabar dengan kerenah ‘penunggang’ seni dan ‘tahan maki’, Ikhlas gembira kerana sikit demi sikit bakatnya dalam dunia lakonan mula mendapat perhatian.

Dia juga berterima kasih kepada pengarah Along Kamaludin yang banyak mengajar sedari masuk ke dalam industri.

Katanya, dimarahi pengarah perkara biasa tetapi impak daripada tunjuk ajar Along itu dia jadi lebih matang ketika bekerja di set.

“Along banyak membantu menaikkan lakonan saya hingga berpeluang menjayakan slot Akasia. Selepas CSWP, saya berlakon drama Duda Terlajak Laris, Sayangku Kapten Mukriz, Andainya Takdir, Love You Mr. Arang dan Petua Nenek.

“Saya baru selesai menjalani penggambaran drama bersiri Detak Cinta Stetoskop memegang watak utama,” katanya.

Enggan terus berpaling ke belakang, Ikhlas meletak keinginan untuk bekerjasama dengan pengarah muda popular, Syamsul Yusof.

Katanya, untuk menjadi seorang yang berjaya kita kena ikut orang yang berjaya. Sedari filem Munafik, dia menyimpan impian mahu bekerja bawah pengarahannya.

“Saya pernah mendapat peluang bekerja bawah Skop Productions tetapi pada masa itu sudah bersetuju berlakon untuk penggambaran drama lain. Tapi saya tidak berputus asa dan harap akan ada rezeki saya nanti,” katanya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu bersyukur kerana menjadi satu-satunya mengikut jejak langkah ibunya, Wan Jah Raunah Wan Daud, 67, bekas pelakon teater era 1960-an. Empat kakak dan dua abangnya memilih menyertai kerjaya bukan cabang seni.

Ikhlas mahu menjadi penyambung legasi ibunya dan membina legasi sendiri satu hari nanti.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 2:23am
d