rap

Ewal tidak cemburu

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun pernah mendapat tempat ketiga pada Akademi Fantasia 2014 (AF2014), ia tidak menjamin populariti penyanyi Ewal atau Ikhwal Hafiz Ismail.

Pernah mencatat kejayaan di Hollywood, Ewal yang popular dengan lagu Kembalikan Semula akui namanya agak ketinggalan dan kurang popular berbanding penyanyi baru masa kini.

Katanya, sudah rezeki penyanyi baru seperti Ismail Izzani, Aiman Tino, Haqiem Rusli dan Tajul kini meniti populariti dan dia tidak pernah rasa cemburu.

“Saya sedar kalau diukur perjalanan karier seni yang bermula sejak usia kanak-kanak, laluannya agak berliku. Saya tidak pernah berputus asa untuk terus berusaha kerana percaya setiap rezeki itu sudah diaturkan Allah.

“Terasa diri agak jauh daripada populariti tetapi menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Apapun, kata Ewal, hanya populariti jauh daripadanya tetapi undangan menyanyi masih banyak diterima.

“Saya bersyukur rezeki menyanyi tidak putus diterima. Saya juga mempunyai karier tetap sebagai guru vokal di Akademi Suara milik penyanyi Mark Adam.

“Rutin harian saya diisi dengan jadual mengajar di Akademi Suara dan kini saya mempunyai 20 pelajar,” katanya.

Ewal akui kini seronok mengajar kerana dapat berkongsi ilmu yang ada dengan mereka yang meminati muzik. Selain memberi tumpuan mengajar penyanyi baru, dia juga ada beberapa pelajar dalam kalangan selebriti popular.

“Siapa mereka, biar saya rahsiakan dulu kerana ia sebagai persediaan awal untuk masing-masing persiapkan diri untuk aktif dalam bidang nyanyian,” katanya.

Turut bergelar pelakon, Ewal berkata drama terakhir lakonannya adalah Papa Ricky di Astro. Minatnya pada lakonan tetap ada cuma baru-baru ini namanya ditolak stesen TV.

“Mungkin mereka sangka saya masih bernaung bawah Astro tapi kontrak saya dengan pengurusan Astro sudah tamat Mei lalu dan kini perjalanan karier seni saya kembali diurus sendiri.

“Saya selesa mengurus kerjaya sendiri kerana pernah melakukannya sebelum menyertai AF2014 lagi. Jadi, susah payah untuk mengatur perjalanan karier itu sudah terbiasa bagi saya. Pengalaman yang ada sangat membantu,” katanya.

Mengenai kisah peribadinya dengan cinta hati, Ewal berkata, dia kini kembali sendiri kerana sudah putus cinta.

“Sekarang saya belum terfikir untuk bercinta lagi kerana mahu fokus pada karier seni. Usia pun masih muda lebih baik saya stabilkan karier seni sebelum bercadang untuk bercinta.

“Lagipun sudah beberapa kali hubungan cinta terkandas di tengah jalan membuatkan saya terfikir harus berhati-hati.

“Saya akur tidak mudah mencari pasangan yang serasi. Oleh itu, saya tidak mahu bersikap terburu-buru,” katanya.

Untuk single baru pula, Ewal kini dalam proses mencari material baru. Dia mahu muncul dengan single yang menjurus ke arah identiti genre muziknya.

“Saya tidak mahu menghasilkan single hanya mengikut ‘trend’ masa kini kerana sedar keadaan ini bermusim. Tambah pula saya berasa tidak semua lagu ‘trend’ akan berjaya dan terima baik oleh pendengar muzik tanah air.

“Apa yang pasti, nadi untuk sesuatu lagu bergantung pada kekerapan berkumandang di radio. Saya percaya setiap lagu dalam apa saja genre muzik pasti menjadi tarikan pendengar jika kerap diperdengarkan stesen radio,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 2:27am
d