rap

Kagumi lakonan Rosyam

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Kali pertama menyaksikan aksi pelakon serba-boleh, Datuk Rosyam Nor beraksi dalam filem Laila Isabella berganding dengan Nasha Aziz, berjaya menambat hati pelakon dan penyanyi Nazrief Nazri.

Ketika itu Nazrief masih di bangku sekolah dan berasakan aksi ditampilkan Rosyam dan Nasha dalam menjiwai watak Azam dan Laila atau Isabella dalam filem romantik komedi arahan Rashid Sibir itu sungguh bersahaja.

Disebabkan terlalu meminati lakonan Rosyam dalam filem ditayangkan pada 2003 itu, dia sanggup membeli cakera padatnya dan menyaksikannya berulang kali.

“Rasanya lebih 50 kali saya menonton Laila Isabella dan saya tidak pernah bosan melihat lakonan Rosyam dalam filem itu.

“Sejak itu juga saya jarang terlepas menonton lakonan Rosyam sama ada filem mahupun drama,” katanya.

Kalau sebut lakonan Rosyam dalam drama, Nazrief akui, terlalu banyak yang dia suka tetapi yang paling diingatinya drama menggandingkan Rosyam dengan Fauziah Nawi dalam Daun Ketupat Kering.

Kalau filem pula, kali terakhir dia menonton lakonan Rosyam sewaktu filem KL Gangster ditayangkan.

“Bayangkan waktu itu walaupun usia Rosyam mencecah 50 tahun, aksi dipersembahkannya langsung tidak mencerminkan usia.

“Bukan sesuatu yang keterlaluan andai saya menyamakan reputasi Rosyam sama dengan Datuk Shah Rukh Khan,” katanya.

Nazrief atau Mohamad Nazrief Mohamad Nazri, 26, menyifatkan Rosyam sebagai pelakon versatil dan mampu bertahan memegang watak utama walaupun sudah berusia.

Katanya, setiap lakonan menjadi dan dari dia muda hingga sekarang Rosyam hanya memegang peranan sebagai hero.

“Situasi itu sangat berbeza dengan kebanyakan pelakon seangkatannya, apabila sudah berusia perubahan fizikal membuatkan mereka tidak lagi memegang watak utama tetapi lebih sesuai menjadi bapa atau datuk.

“Melihat pada sudut itu juga membuatkan saya sangat memandang tinggi Rosyam kerana untuk meletakkan dirinya sebaris dengan hero popular sedia ada sekarang, dia harus bekerja keras,” katanya.

Mula berlakon melalui telefilem Anak Ikan arahan Rashid Sibir pada 2012, Nazrief tidak nafikan kerana meminati Rosyam juga dia menyertai dunia lakonan.

“Saya kalau menonton TV atau filem, saya suka perhatikan lakonan pelakonnya termasuk Hollywood mahupun Bollywood.

“Apabila saya sendiri kini bergelar pelakon, saya akan cuba aplikasikan teknik mereka dengan mimik gaya lakonan terutama apabila mereka memberikan reaksi ketika sedih,” katanya.

Jelas Nazrief, pelakon hebat seperti Rosyam mempunyai gaya lakonan tersendiri dan sudah menjadi seperti ‘trademark’ kalau mereka menunjukkan wajah gembira begitu juga sedih.

Sepanjang hampir empat tahun membabitkan diri dalam dunia lakonan, Nazrief yang pernah membintangi Cinta Ilahi, Suami Sebelah Rumah, Lari Mira, HidayahMu Ramadhan, Demi Cinta Ain, Lara Terindah dan Nasi Minyak Kuah Cinta akui belum berpeluang bekerja dengan pelakon yang menjadi idolanya.

“Banyak perkara yang ada pada Rosyam boleh saya jadikan contoh. Selain lakonan, dia juga pandai menjaga keterampilan.

“Selain berjaya sebagai pelakon, Rosyam juga sangat sukses sebagai ahli perniagaan. Saya sendiri berharap satu hari nanti mampu mengikut jejak langkahnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 20, 2017 @ 2:31am
d