rap

'Tak mudah jadi penyanyi rupanya...'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Siapa sangka hobinya yang suka menyanyi di aplikasi muzik Smule sejak 2015 menarik perhatian syarikat rakaman NAR Records untuk menawarkannya menjadi penyanyi.

Malah Fatin Husna, 22, tidak pernah menyangka sama sekali untuk pergi sejauh ini apatah lagi berada dalam industri hiburan tempatan yang dianggap asing dalam hidupnya.

“Sejujurnya saya memang minat menyanyi sejak kecil. Cuma tidak pernah terfikir pun untuk menjadi penyanyi. Sejak wujud aplikasi Smule saya mulai aktif. Tujuan asal saya untuk menghilangkan bosan dan mengisi masa lapang.

“Kebetulan ketika itu saya baru habis belajar, jadi menyanyi satu daripada terapi diri. Di Smule saya selalu mengikut penyanyi popular Khai Bhar kerana dia memiliki kekuatan vokal. Pada masa sama saya juga meminati lagu bernada tinggi,” katanya.

Fatin yang berjaya mengumpul hampir 200,000 pengikut di Smule dilamar syarikat rakaman itu dua bulan lalu selepas namanya dicadangkan beberapa pihak.

Melihatkan bakat yang ada dalam dirinya, Fatin dipanggil menghadiri sesi uji bakat di syarikat rakaman berkenaan.

“Ketika sesi itu, saya diminta menyanyikan empat lagu. Antaranya Aku Takkan Bersuara, Menahan Rindu, Korban Cinta dan Teman Tapi Mesra. Selesai semuanya mereka terus bersetuju mengambil saya.

“Namun, saya minta diberikan waktu untuk berfikir. Selepas dua minggu, baru saya menyatakan persetujuan. Saya ambil sedikit masa kerana takut belum bersedia untuk berdepan realiti sebagai penyanyi,” katanya.

Bagaimanapun, berkat sokongan daripada bapanya, Fatin bulatkan hati untuk menempatkan diri dalam bidang hiburan tanah air.

Meskipun ia pengalaman baru dalam dirinya, Fatin menganggap kerjaya ini sebagai satu cabaran untuknya memajukan diri.

Sebagai permulaan, Fatin yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan muncul dengan single berjudul Terlepas Cinta hasil ciptaan Fiq Jelani.

Lagu berentak balada dan bernada tinggi ini dianggap mencabar buat Fatin kerana melodi dan liriknya begitu kuat.

“Diakui bukan mudah hendak menjadi penyanyi. Sebelum ini saya menyanyi di Smule ikut cara sendiri. Namun, berbeza apabila berada di studio kerana perlu mengikut kunci suara yang sudah ditetapkan untuk lagu ini.

“Pada mulanya, saya agak tertekan juga nak merakamkan lagu kerana susah nak menghafal lirik ditambah pula lagu ini bernada tinggi. Alhamdulillah, dengan bantuan Abang Harry Khalifah, saya berjaya merakamkan lagu ini dalam tempoh tiga jam,” katanya.

Fatin berkata, dia membayangkan semula pengalaman kisah cinta lalu bagi mendapatkan penghayataan ketika merakamkan lagu itu.

Pada masa sama, Fatin juga sudah mempersiapkan diri dengan segala kemungkinan terutama bersaing dengan penyanyi baru yang digelar Budak Budak Baru Nak Up.

“Saya selalu berfikir dalam pada ada suka kita, pasti ada sebaliknya. Kritikan dan komen negatif itu memang tak boleh nak elak. Bagi saya, ia perkara biasa dalam kehidupan. Jadi apabila masuk dalam bidang ini, saya perlu kuat dan bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Apa saya lakukan sekarang adalah sentiasa berfikiran positif. Saya terima semua komen untuk perbaiki diri. Malah, saya juga kerap menonton video bagaimana artis senior sedia ada menjawab soalan ketika ditemu bual ,” katanya.

Paling penting bagi Fatin, dia kini dalam proses untuk membuang sikap pemalu selain ingin menambah keyakinan diri dalam berdepan dengan khalayak.

Disiarkan pada: August 21, 2017 @ 12:14pm
d