rap

Suami tak suka Nina 'berkurung'

Oleh Najiy Jefri

Selamat diijab kabul dengan Ahmad Farhan Rusman pada 29 Julai lalu, hidup pelakon dan pengacara Nina Nadira diulit bahagia.

Nina mengakui bersyukur dan bertuah apabila dipertemukan dengan Farhan yang dikenalinya ketika menuntut di Melbourne, Australia, tahun lalu.

Nina menyifatkan Farhan sebagai lelaki yang amat bertanggungjawab.

“Kami mempunyai tarikan yang bertentangan. Saya berjiwa seni manakala dia pula lebih mementingkan pemikiran logik kerana bekerja sebagai arkitek. Mungkin itulah yang membuatkan kami saling melengkapi.

“Alhamdulillah, sepanjang sebulan bergelar isteri saya sangat teruja kerana dapat mengenalinya dengan lebih dekat. Maklumlah perkenalan kami sebelum ini agak singkat,” katanya yang mengenali Farhan selama setahun sebelum nekad berkahwin.

Nina turut bersyukur apabila Farhan mengizinkannya kembali bergiat aktif sebagai anak seni.

“Satu perkara yang saya suka mengenai Farhan adalah dia tidak menghalang saya mengejar impian. Lagipun dia tidak suka saya duduk di rumah saja.

“Insya-Allah, dalam waktu terdekat ini saya akan menjayakan sebuah drama. Doakan semoga kemunculan ini akan membuatkan diri makin dikenali,”katanya.

Ditanya adakah terdapat wanita yang cuba mendekati Farhan memandangkan Nina kerap memuat naik gambar dan video bersama suaminya itu di Instagram, Nina menegaskan setakat ini ia tidak berlaku.

Bagaimanapun, dia tidak ambil pusing kerana percaya suaminya tidak akan melayan sesuka hati.

“Sama ada orang industri atau tidak, pasti ada rasa bimbang di hati jika suami cuba didekati wanita lain. Kunci utama kebahagiaan adalah kepercayaan.

“Saya tidak mahu fikir terlalu jauh kerana percayakan Farhan,” katanya.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 4:33am
d