rap

Mursyid luah rasa kecewa

Oleh Michelle Gun

Mursyid musim kelima Da’i Pendakwah Nusantara Datuk Ustaz Kazim Elias meluahkan rasa kecewa terhadap persembahan peserta minggu keenam program realiti kerohanian itu yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Ahad lalu.

“Kalau peserta mahu berjaya, mereka perlu mendengar nasihat mursyid, murabbi dan murabbiah. Ini kerana kami tahu bagaimana menjadikan mereka disukai penonton.

“Tambahan pula, saya sudah 27 tahun berpengalaman dalam dunia dakwah dan mengetahui cara mendekati hati orang ramai,” katanya.

Minggu keenam program realiti itu menyaksikan dua peserta iaitu Da’i Samsudin dan Da’i Ilhami tersingkir dari pentas dakwah.

Dalam pada itu, Kazim berharap peserta dapat mempertingkatkan prestasi dan persembahan mereka untuk pusingan minggu hadapan.

“Secara keseluruhan dalam tempoh enam minggu ini terdapat beberapa peningkatan ditunjukkan peserta terutama keyakinan diri.

“Bagaimanapun, aspek pengisian mereka belum mantap dan ada peserta ketika membaca al-Quran gagal mencapai tahap dikehendaki,” katanya.

Ujar Kazim, hampir setiap tahun program terbabit menggunakan topik dakwah sama dan mencadangkan peserta diajukan soalan berkenaan hukum korban tanpa elemen drama.

“Menerusi topik ini, ia seolah-olah peserta mengajar penonton mengenai sembahyang jamak dan qasar.

“Saya mahu melihat sejauh mana peserta memahami hukum korban dan cara penyampaian mereka,” katanya.

Selain itu, beliau turut berharap pihak penerbit dapat memberi peserta peluang untuk mengupas kitab lama.

“Saya cadangkan kitab seperti Minhaj Ul Abideen daripada Imam Ghazali atau Hidayatus Salikin.

“Bagi saya, ini cabaran buat peserta dan mempersiapkan mereka dengan realiti pendakwah sebenar,” katanya.

Ditanya mengenai kuasa imuniti, Kazim berpendapat keistimewaan itu tidak diperlukan kerana mempercayai penyingkiran peserta berdasarkan sebab tertentu.

“Apabila peserta tersingkir, keputusan itu adalah pilihan juri yang saya percaya atas kewajaran disebabkan kelemahan tertentu. Oleh itu, saya rasa tidak perlu lagi menggunakan imuniti,” katanya.

Sementara itu, Kazim berpendapat pendakwah perlu menggunakan media sosial bagi mendekati masyarakat.

“Sebagai contoh, mereka boleh membuat tazkirah pendek di Facebook dan Instagram.

“Saya berharap peserta yang tersingkir boleh mempertingkatkan ilmu untuk menjadi lebih baik,” katanya.

Saksikan persembahan minggu ketujuh Da’i Pendakwah Nusantara pada Ahad ini, jam 9 malam di TV3.

Penonton juga boleh saksikan program ini melalui portal Tonton di www.tonton.com.my.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 4:48am
d