rap

Amira kata 'cerita tu tak betul'

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI dan pelakon Amira Othman, 24, terkilan dengan gosip liar yang mendakwa dia kini rapat dengan penyanyi dan komposer, Ippo Hafiz, 28.

Gosip disiarkan baru-baru ini dalam satu akhbar tabloid mingguan itu disifatkan Amira tidak berasas dan kurang manis untuk gadis berhijab sepertinya.

Amira atau Nadia Amira Othman berkata, dia terkejut sebaik mengetahui gosip itu kerana apa yang ditulis tidak benar.

"Memang Ippo ada datang ke rumah keluarga saya di Johor Bahru baru-baru ini. Tetapi, kedatangannya untuk bertemu dengan adik saya, Irfan Haris, 16, di atas urusan kerja mereka.

"Irfan masih bersekolah dan sudah tentu dia menetap bersama keluarga. Jadi, untuk lebih mudahkan urusan, Ippo datang ke Johor berjumpa Irfan. Itu saja.

"Bukan dia (Ippo) ke rumah kami untuk bertemu dengan saya. Malah di antara kami memang tidak kenal rapat dan kunjungan itu pun sebenarnya saya tidak tahu," katanya.

Amira berkata dia jadi tertanya-tanya selepas gosip itu tersiar. Justeru, dia terus menghubungi bapanya untuk mengetahui cerita mengenai kunjungan Ippo ke kediaman mereka.

Penyanyi lagu Hati Hati dan Jaga Jaga ini mengakui kurang selesa dengan gosip yang tersebar itu. Apatah lagi, ia adalah perkara yang tidak betul.

"Saya terkilan kenapa mudah saja timbul cerita tidak benar yang mengaitkan nama saya dengan lelaki. Sebelum ini, saya pernah dikait ada apa-apa dengan penyanyi Khai Bahar dan sekarang Ippo pula.

"Terus-terang, saya belum terdesak atau terfikir mahu bercinta sekarang. Fokus utama saya tertumpu untuk memantapkan karier seni terutama dalam bidang nyanyian.

"Saya pun masih baru membina karier dan nama. Jadi, bukan suatu perkara yang baik untuk saya dikenali dan diterima peminat dengan cerita berbaur gosip liar membabitkan peribadi atau kisah cinta.

"Jujur diakui, saya tidak selesa. Apatah lagi, saya muncul untuk membina nama dalam karier seni ini dengan imej sopan dan bertudung," katanya.

Amira mengharapkan selepas ini tidak ada lagi gosip liar dan tidak betul mengaitkan dia dengan mana-mana selebriti lelaki disiarkan.

Ujarnya, kalau perkara betul, dia akan mengaku. Tetapi, jika tidak benar sudah pasti gosip disebarkan itu boleh mengguris hati dan perasaan orang lain terutama jika individu berkenaan sudah berpunya.

Amira yang menjadi pemenang tempat ketiga di Akademi Fantasia 2013 (AF 2013) juga kini aktif berlakon dan pernah membintangi drama adaptasi novel Abang Bomba I Love You sebagai watak utama.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 1:08pm
d