rap

Awang BPR kena serangan jantung

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KOMPOSER dan pemain gitar BPR, Norzaini Mohammad, 54, atau Awang semakin pulih selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung kecil, Ahad lalu.

Awang ketika dihubungi berkata, dia dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) HKL selepas mengadu sakit dada kira-kira jam 10 pagi Ahad lalu dan kini sudah dipindahkan ke Wad Pemulihan Jantung HKL sejak semalam.

Awang berkata, pada mulanya dia mengalami sakit dada ketika berada di rumah dan meminta anaknya menghubungi ambulan.

"Saya rasa bahagian dada terlalu ketat dan segera menyuruh anak menghubungi ambulan. Mula-mula saya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan selepas itu dipindahkan pula ke HKL.

"Diikutkan saya tak pernah ada rekod sakit jantung dan apabila doktor memaklumkan ia adalah tanda-tanda serangan jantung kecil, ia amat mengejutkan. Saya tak tahu itu tanda-tanda sakit jantung," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Awang, dia tidak panik atau memikirkan sesuatu yang buruk akan berlaku kerana masih sedar apa yang berlaku.

"Saya dalam keadaan sedar ketika dibawa ke hospital. Malah, saya juga boleh berjalan dan bergerak serta yakin dengan kemampuan doktor untuk merawat penyakit saya.

"Lagipun kes ini baru dikategorikan sebagai serangan jantung kecil dan syukurlah doktor boleh menanganinya dengan baik.

Awang mengakui, pekerjaannya sebagai pemuzik di kelab hingga lewat malam setiap hari menjadi salah satu punca penyakitnya ini.

"Saya juga kurang tidur dan menjaga pemakanan. Selepas ini saya akan pastikan menjaga kesihatan agar perkara ini tak berulang.

"Doktor pun meminta saya berehat dan saya akur dengan nasihat yang diberikan," katanya.

Awang akan terbabit mengadakan persembahan bersama BPR pada 9 September ini dalam sebuah program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Dia juga akan mengadakan Konsert Ulang Tahun Ke-30 BPR pada 28 Oktober depan di Hard Rock Cafe, Melaka.

Disiarkan pada: August 23, 2017 @ 7:36pm
d