rap

Siti harap peminat faham

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular Datuk Siti Nurhaliza berpuas hati dengan permohonan maaf penganjur Anugerah Planet Muzik 2017 (APM 2017) berhubung namanya digugurkan dalam kategori Artis Terbaik (Wanita) berikutan kesilapan teknikal.

Siti, 38, berkata, pembetulan itu atas inisiatif pihak pengurusannya iaitu Siti Nurhaliza Productions (SNP) selepas sidang media anugerah itu yang diadakan di Singapura pada Selasa lalu.

"Sebenarnya lagu Menatap Dalam Mimpi sudah tercalon pada APM 2015 lagi. Jadi tidak adil sekiranya ia tercalon semula. Menyedari kesilapan itu, pihak penganjur segera mengeluarkan pencalonan saya.

"Namun dalam kalangan peminat ada yang kurang berpuas hati. Mujur Kak Rozi selaku wakil SNP menjelaskan perkara ini. Bukan apa, saya tidak mahu peminat marah dan kecam penganjur," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Siti menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang produk untuk dicalonkan sebelum pencalonan ditutup pada 31 Mac lalu.

"Album terbaru saya dilancarkan selepas pada Mei lalu, jadi memang tidak sempat. Cuma saya ada lagu duet dengan Faizal Tahir berjudul Dirgahayu. Pencalonan itu pun datangnya daripada pihak Warner Music Malaysia.

"Sekiranya tidak tercalon sekali pun tahun ini, saya tidak berasa kecewa. Jadi saya berharap peminat faham mengenai isu ini," katanya.

Ekoran ketiadaan nama Siti, kategori Artis Terbaik (Wanita) hanya menyenaraikan empat nama.

Antaranya Dayang Nurfaizah dari Malaysia, Isyana Sarasvati dan Raisa (Indonesia) dan Aishah Aziz (Singapura).

Namun menerusi penganjuran tahun ini, lagu Dirgahayu nyanyian Siti dan Faizal tercalon dalam dua kategori iaitu Duo/Kumpulan Terbaik dan Lagu Terbaik (Malaysia).

Terdahulu pada Khamis lalu, penganjur APM 2017 memohon maaf kepada Siti apabila nama penyanyi itu terpaksa digugurkan daripada pencalonan kategori Artis Terbaik (Wanita) berikutan kesilapan teknikal.

Pihak APM 2017 menyedari kesilapan itu apabila Siti dicalonkan sekali lagi dalam kategori Artis Terbaik (Wanita) menerusi single dimuatkan dalam albumnya sebelum ini, Menatap Dalam Mimpi.

Berita berkaitan

'Maafkan kami Datuk Siti!'

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 4:43pm
d