rap

'Tiada niat besar kepala' kata Amir

Oleh Norhayati Nordin

PENYANYI dan komposer, Amir Jahari, 25, meminta maaf kepada penerbit program TV yang disertainya baru-baru ini di atas cadangan persembahan diusulkan.

Amir berkata dia tidak berniat untuk bersikap besar kepala atau memandai-mandai. Ujarnya, dia sekadar memberi pendapatnya ketika terbabit dalam program TV itu.

Pun begitu, menurut gosip disiarkan sebuah akhbar mingguan baru-baru ini, Amir yang diundang dalam program TV terbabit didakwa cuba bertindak sendiri untuk menukar konsep persembahan sedia ada yang sudah ditetapkan pihak penerbitan.

Menurut Amir atau Mohamad Amirullah Jahari, dia sekadar memberikan cadangan untuk persembahan nyanyiannya yang lebih baik dan sedap didengar oleh penonton.

"Saya tidak berniat apa-apa termasuk cuba menunjuk pandai untuk mengubah konsep persembahan yang ditetapkan pihak penerbitan. Ketika itu, saya hanya memberi cadangan saja.

"Sebagai penyanyi yang akan membuat persembahan dengan lagu dipilih, saya sekadar berkongsi pandapat apa dirasakan sesuai.

"Kebetulan, lagu yang saya pilih untuk dinyanyikan dalam program TV itu tidak memerlukan banyak peralatan muzik. Cukup hanya persembahan saya diiringi pemain piano saja," katanya.

Apapun, Amir berkata dia tidak menyangka tindakannya menyuarakan pendapat itu menyebabkan pihak penerbitan program terasa hati.

"Saya meminta maaf kepada semua pihak yang terasa hati dengan tindakan itu. Ia tidak disengajakan dan sekadar mahu berkongsi pendapat.

"Dengan permohonan maaf ini, saya harap semua salah faham yang berlaku sudah selesai. Saya juga sebenarnya ada menghantar mesej meminta maaf secara peribadi kepada penerbit program itu di atas apa yang berlaku," katanya.

Amir mula menceburi bidang nyanyian selepas menyertai Akademi Fantasia 9 (AF9) pada 2011 dan baru enam tahun dia berusaha membina karier sebagai penyanyi dan komposer.

Anak jati dari Sarawak ini juga pernah popular dengan lagu seperti Penghibur Jalanan, Aku Juga Manusia dan Ingga.

Disiarkan pada: August 26, 2017 @ 9:12pm
d