rap

Dayang Nurfaizah ikon pembina jenama

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI popular Dayang Nurfaizah menerima anugerah The BrandLaureate Grand Master Brand ICON Leadership berikutan pencapaiannya dalam industri muzik tempatan di majlis The BrandLaureate Brand ICON Leadership Awards 2017, malam tadi.

Penyanyi yang kini sedang popular dengan lagu Separuh Mati Ku Bercinta itu menerima anugerah itu di majlis anjuran Asia Pacific Brands Foundation (APBF) berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur.

Turut menerima anugerah sama ialah beberapa ikon tanah air antaranya penerbit album dan komposer, Datuk Wah Idris; pemain biola, Dr Joanne Yoeh; pemenang pingat emas 100 meter Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan; atlet terjun negara, Cheong Jun Hoong dan pemain bowling negara, Shalin Zulkifli.

Dayang ketika ditemui menyifatkan anugerah itu sebagai satu penghargaan atas kejayaan diraih dalam industri muzik tempatan kebelakangan ini.

"Sebagai penggiat seni sudah tentu saya bangga dengan anugerah yang diberikan, bersama dengan ikon dalam bidang-bidang lain.

"Penganjur melihat penggiat seni seperti saya juga mampu menyumbang dalam membina jenama sesuai tema majlis tahun ini Ikon-Signifikan Kehidupan," katanya.

Menurut Dayang, mereka yang menerima anugerah berprestij itu dinilai menerusi inovatif ditampilkan dalam meletakkan kerjaya ke tahap tertinggi dan membina jenama.

"Penganjur menyatakan mereka yang menerima anugerah dalam setiap kategori dianggap ikon kerana memiliki kekuatan dan berani untuk melangkah jauh," katanya.

Disiarkan pada: August 29, 2017 @ 12:43am
d