rap

Jaclyn Victor timang anak kedua

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Jaclyn Victor atau Jac, selamat melahirkan bayi perempuan di pusat perubatan di Kuala Lumpur, 24 Ogos lalu.

Perkara itu diumumkan Jac, hari ini menerusi laman Instagram miliknya.

Cahaya mata kedua yang diberi nama Molly Marguerite Rivera itu lahir lima hari lebih awal menerusi pembedahan.

"Saya sangat teruja apabila Molly berkongsi tarikh lahir yang sama dengan abangnya , Jonah Joshiah Rivera.

"Terima kasih kepada keluarga dan rakan terdekat yang datang melawat di hospital tempoh hari," katanya.

Jac berkata, dia dijangka bersalin pada 29 Ogos namun mengambil keputusan untuk bersalin awal menerusi pembedahan kerana ingin mengotakan janji kepada Sukan SEA yang dipersetujui lebih awal.

Ruangan komen Jac dipenuhi ucapan tahniah daripada rakan artis yang menyifatkan dia penyanyi hebat.

"Awak memang hebat Jac. Semalam saya fikir sama ada awak sudah bersalin atau belum. Rupa-rupanya sudah bersalin," kata Datuk Siti Nurhaliza.

Sementara itu, Ning Baizura juga kagum dengan kemampuan Jac yang boleh menyanyi dalam tempoh seminggu selepas bersalin.

"Dalam masa seminggu awak muncul dengan persembahan yang memukau. Awak memang Supermom. Demi negara, awak menghiburkan kami," katanya.

Menerusi satu kenyataan, Jac sengaja merahsiakan kehamilan keduanya kerana tidak mahu karier nyanyiannya terjejas.

"Saya mohon maaf kerana memilih untuk merahsiakan kehamilan ini. Lagipun ketika mengandungkan anak pertama pun saya tidak dedahkan sehinggalah kandungan saya mencecah usia enam bulan.

"Tujuan saya merahsiakan kehamilan ini kerana tidak mahu diberi layanan yan berbeza meskipun keadaan kesihatan saya okey untuk terus menyanyi," katanya.

Jac berkahwin dengan Shawn Rivera, iaitu anggota kumpulan R&B Amerika Syarikat, Az Yet pada Julai 2014.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan anak lelaki Jonah Joshiah Rivera yang kini berusia dua tahun.

Disiarkan pada: August 31, 2017 @ 4:54pm
d