rap

Nadiya kian teruja

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Tidak semua orang berpeluang dan memiliki bakat dalam bidang pe­nyampaian radio walaupun arus dan alirannya masih lagi sebahagian daripada seni.

Bagi pelakon Nadiya Nisaa, peluang untuk cuba melakukan kerja sebagai penyampai radio di stesen radio iM4U FM menjadi peluang dan pengalaman yang tidak akan dilupakannya.

“Saya diberikan peluang untuk menjadi penyampai jemputan selama sebulan bermula 7 hingga 31 Ogos lalu. Memang ia pengalaman baru kerana saya tidak pernah mengendalikan tugasan sebagai penyampai radio mahupun pengacara TV sebelum ini,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menerima tawaran sekiranya ditawarkan untuk menjadi penyampai radio tetap pula, Nadiya berkata, dia akan mempertimbangkannya.

“Saya akan fikirkan mengenai tawaran itu sekiranya ada. Seronok sebenarnya bekerja sebagai pe­nyampai radio.

“Seandainya tawaran itu datang bersama kumpulan kerja serta persekitaran yang menyeronok­kan, mungkin saya akan terima,” katanya.

Nadiya juga meluahkan rasa puas hatinya kerana dalam tempoh sebulan itu, dia tidak terikat dengan sebarang genre yang ditetapkan.

“Saya memang peminat muzik dan memiliki sedikit pengetahuan mengenai industri. Jadi, apabila menjadi penyampai radio di iM4U FM, saya berpeluang mengekspresikan diri.

“Saya hanya menjadi diri sendiri dan bebas untuk berkongsi genre muzik yang saya suka dan sebagainya,” katanya.

Ditanya mengenai lakonan dan drama, Nadiya masih menerima tawaran namun ada beberapa harapan yang terbuku di hatinya sebagai anak seni.

“Saya masih berharap agar industri drama dan perfileman tanah air menyajikan karya yang mampu mendidik masyarakat.

“Kalau dibaca novel tempatan, kita sebenarnya tidak ketandusan idea, cuma stesen TV banyak meletakkan trend sesuatu naskhah itu pada penonton,” katanya.

Terbaru, Nadiya akan memulakan penggambaran telefilem khas sempena Hari Guru. Selain itu, dia juga menantikan tayangan filem terbaru lakonannya, Mak yang turut dibintangi barisan pelakon seperti Remy Ishak, Eidil Putra, Nadia Brian dan ramai lagi.

“Untuk filem Mak ini, ia menggabungkan beberapa cerita dalam satu filem. Tentunya akan ada beberapa sisi berbeza dalam kisah yang menampilkan watak ibu,” katanya.

Disiarkan pada: September 4, 2017 @ 12:04pm
d