rap

Dendang karya 450 tahun

Oleh Syanty Octavia Amry

Tidak pernah terlintas di fikiran bakal bergelar penyanyi nasyid, As-Suhaimi, 31, mengakui minat ke arah itu timbul selepas terkenang pesanan ibunya.

Suhaimi yang sebelum ini membawakan lagu pelbagai genre berkata, sudah dua tahun dia fokus dalam muzik nasyid.

Penyanyi kelahiran Pahang itu juga menggunakan kelebihan sebagai guru tari dengan mencurahkan ilmu yang ada kepada masyarakat.

“Kalau ikutkan sudah 10 tahun saya terbabit dalam bidang ini. Saya banyak menghasilkan lagu untuk pelajar sekolah di Raub, Pahang.

“Apabila mak menyatakan hasrat mahu saya menghasilkan lagu yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai, saya lihat nasyid adalah pilihan terbaik,” katanya.

Katanya lagi, lagu-lagu berkenaan lebih mudah difahami dan memberi banyak dorongan kepada seseorang.

“Sebenarnya nasyid ini pelbagai, apatah lagi saya cuba tampil dalam konsep ‘world music’ iaitu semua lapisan usia boleh mendengarnya.

“Saya banyak merujuk penyanyi nasyid lain termasuk Akhil Hayy. Sebagai rakan karib, dia banyak memberi tunjuk ajar kepada saya,” katanya.

Tampil dengan single Ishfa’Lana yang bermaksud syafaatkan kami, lagu berkenaan dinyanyikan semula oleh Suhaimi.

Lagu itu sudah dinyanyikan sejak 450 tahun lalu dalam bahasa Arab.

“Saya memilih lagu ini kerana ia menjadi siulan ramai. Jadi, peminat akan lebih mudah menikmati lagu nyanyian saya.

“Niat saya bukan sekadar mempopularkan lagu ini tetapi lebih kepada berkongsi muzik dengan semua pendengar,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 4:19am
d