rap

5 tahun 'terseksa'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Peluang Jasmine Mohamed Ashraff untuk mencipta nama dalam arena seni terbuka luas apabila membintangi drama bersiri Mr Mama pada 2004.

Menerusi drama terbitan Radius One Sdn Bhd itu, Jasmine yang berdarah campuran Pakistan dan Afghanistan melakonkan watak sebagai Suria, isteri kepada Fikri (Rashidi Ishak).

Bagaimanapun, pada saat namanya menjadi sebutan penonton, Jasmine terpaksa berhenti berlakon apabila mendapat tawaran bekerja di National Geographic Channel selama lima tahun.

Sudah lumrah apabila bergelar anak seni, jiwa pasti meronta-ronta untuk kembali berlakon. Ini turut dilalui Jasmine, 38, yang kini kembali aktif berlakon.

“Bukan mudah untuk saya mengucapkan selamat tinggal terhadap bidang seni yang diceburi sejak 12 tahun lalu. Tawaran bekerja di bahagian penapisan dokumentari dan localization untuk Fox International Channels sememangnya amat mengujakan dan memaksa saya ambil keputusan yang berat untuk berhenti berlakon.

“Sekarang saya sudah kembali bebas dan inilah masa untuk kembali berlakon,” katanya.

Jasmine kini terbabit dalam pembikinan filem Balun dan drama Duda Pujaan Dara arahan Jamal Khan untuk Astro Ria.

Drama lakonannya, Baitulrahmat sedang disiarkan menerusi TV1 setiap hari, jam 7 malam.

Ibu kepada Daniel Jibran, 7, ini berkata, ketika aktif berlakon dalam Mr Mama, dia bertugas sebagai pegawai penapisan filem di Astro selama tujuh tahun.

“Bidang kerja saya sememangnya dalam dunia hiburan. Sekiranya tak berlakon, saya masih bertugas di belakang tabir sebagai penapis filem dan pengarah untuk ‘dubbing’ serta sarikata.

“Malah, tawaran berlakon pun sebenarnya bermula dari sini. Menerusi jawatan ini, saya kenal ramai pengarah dan mereka tawarkan saya berlakon,” katanya.

Jasmine berkata, lakonan sudah sebati dengan jiwanya. Malah, sehingga kini dia menjayakan lebih 50 drama dan akan terus berlakon sekiranya ada permintaan.

“Saya kini mengembangkan bakat sebagai penulis skrip drama.

“Insya-Allah, andai ada rezeki, kisah penulisan saya bakal ditayangkan di TV tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Jasmine juga sibuk menguruskan perniagaan pakaian secara dalam talian di bawah jenama Juzash yang sudah beroperasi sejak setahun lalu.

“Alhamdulillah, perniagaan semakin mendapat sambutan ramai pelanggan di Malaysia, Singapura dan Brunei. Saya kerap bertandang ke Brunei dan Singapura atas jemputan usahawan selebriti di sana.

“Syukur, saya juga terpilih untuk terbabit dalam Ekspo Antarabangsa OIC anjuran OIC International Business Centre yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 18 hingga 21 September ini. Ia peluang untuk jenama saya dikenali di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, peluang itu diperoleh apabila dia menyertai persatuan artis Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) yang diketuai pelakon Anne Abdullah.

Peminat yang ingin mengetahui lebih lanjut rekaan pakaian jenama Jasmine boleh melihatnya di Instagram @Juzashh.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 4:26am
d