rap

Bukan pentas cari populariti

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Tirai konsert AF Megastar dibuka malam kelmarin dengan menyaksikan 12 penyanyi yang juga bekas bintang program Akademi Fantasia musim terdahulu berentap bagi merebut tempat ke peringkat seterusnya.

Mereka terdiri daripada Bob (AF2), Zahid (AF2), Idayu (AF3), Marsha (AF3), Mila (AF5), Sufie Rashid (AF 2015), Adam (AF2), Amir Jahari (AF9), Azhar (AF 2013), Ewal (AF2014) dan Ara (AF 2016).

Namun berdasarkan keseluruhan persembahan, tiga juri profesional iaitu Datuk Ramli MS, Syafinaz Selamat dan Ziana Zain menyifatkan ada peserta gagal mempamerkan persembahan terbaik.

Malah penyanyi Syafinaz selaku juri tetap turut beranggapan terdapat peserta yang tidak layak beraksi di pentas itu berdasarkan kualiti nyanyian mereka.

“Saya faham sebahagian daripada mereka diperlukan dalam program ini. Malah segelintir daripada mereka juga tidak perlu ada. Bagi saya pentas ini perlu diberikan peluang kepada orang lain. Saya pasti ada yang lebih layak.

“Tidak dinafikan ada peserta yang bagus, begitu juga sebaliknya. Apabila bercakap mengenai AF Megastar, mereka perlu faham. Ini kesempatan terbaik untuk menebus semula apa yang mereka tidak dapat sebelum ini.

“Saya bukan ingin menjatuhkan reputasi mereka tetapi ingin dijelaskan program ini mencari penyanyi sebenar (real singer). Kalau bercakap mengenai penyanyi, apa yang penting perlu ada suara yang bagus,” katanya.

Syafinaz yang pernah menjadi juri jemputan AF dalam beberapa musim terdahulu mengingatkan peserta bahawa menyanyi dengan nada tinggi tidak semestinya sedap didengar.

“Jangan fikir mereka yang boleh menyanyikan nada tinggi dan mendapat sorakan peminat, ia sedap didengar. Perkara ini yang selalu salah. Sepatutnya perlu ada skil dan teknik betul.

“Jadi apabila saya dipilih menjadi juri, besar harapan untuk melihat program ini melahirkan juara yang tepat. Bukan apa, kebanyakan musim terdahulu keputusannya agak mengecewakan,” katanya.

Daripada semua peserta, Syafinaz menyifatkan Idayu, Bob dan Marsha antara yang menyerlah.

Sementara itu, pengarah muzik terkenal Datuk Ramli MS yang juga juri tetap menegur segelintir peserta yang membuat kesilapan dalam pemilihan lagu.

Ramli mengambil contoh Ara yang mana lagu Terus Mencintai nyanyian asal Siti Nordiana gagal menyerlahkan dirinya sebagai penyanyi yang bagus.

“Sebelum berada di kerusi juri ini, saya kaji semula semua persembahan peserta dari 2003 sehingga tahun lalu. Sepanjang tempoh berkenaan banyak perubahan berlaku dan ini yang saya ingin dengar.

“Macam Ara, saya menonton persembahannya di YouTube dan diakui ada banyak peningkatan. Namun saya tidak faham kenapa dia memilih lagu ini. Jangan disebabkan lagu ini bernada tinggi, dia pilih. Orang sorak atau tepuk tidak semestinya bagus. Kami di kerusi juri mendengar sebaliknya,” katanya.

Pada masa sama, Ramli yang juga bekas pengetua AF3 dan AF6 menegaskan pentas AF Megastar bukan tempat untuk meraih populariti.

“Kalau ingin popular bukan dalam program ini. Mereka perlu tahu, program ini adalah tempat untuk kelangsungan kerjaya.

“Malah pentas ini juga buat mereka yang ada potensi untuk pergi jauh. Jadi perlu tonjolkan bakat sebenar. Menjadi anak seni perlu bijak memanfaatkan peluang diberikan,” katanya.

Menurut Ramli, penyanyi Amir Jahari berjaya menarik perhatiannya malah wajar dicontohi peserta lain.

“Soal boleh jual atau tidak, kena tolak tepi. Apa yang penting dia patut dicontohi. Seni dan muzik yang dipersembahkannya terbuka. Pendek kata saya kagum dengan dia.

“Selain itu, Bob juga seorang penyanyi yang bagus. Cuma lagu Bukan Cinta Biasa itu terlalu mudah untuknya. Saya boleh katakan lagu ini bukan ‘standard’ Bob. Mungkin juga dia simpan ‘taring’ untuk lagu lebih mencabar,” katanya yang turut memuji Idayu sebagai penyanyi profesional.

Bagi Ziana Zain pula, dia mahu peminat buka mata dan menilai bakat sebenar seorang penyanyi.

“Saya faham stesen TV ingin tarik perhatian penonton. Apabila wujud peserta yang cantik dan elok paras rupa, tidak mustahil ia disukai penonton. Dari sisi lain, ia sebenarnya tidak adil buat mereka yang berbakat.

“Apabila rupa paras diutamakan, penyanyi sebenar akan ketinggalan jauh. Peluang yang sepatutnya menjadi milik mereka terlepas begitu saja. Apa saya boleh katakan, mentaliti orang kita masih tidak ke depan.

“Saya perlu bercakap mengenai perkara ini kerana mahu penonton sedar. Kadang-kadang ada peserta yang tersingkir lebih bagus daripada yang menang. Jadi pentas AF Megastar ini peluang untuk mereka yang ditidakkan bakatnya menonjolkan kemampuan sebenar,” katanya.

AF Megastar yang bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria menampilkan pengacara popular Datuk Aznil Nawawi.

Berbeza daripada 13 musim terdahulu, program ini menggunakan format pemarkahan 70 peratus juri profesional dan 30 peratus lagi undian peminat.

Minggu ini 12 lagi bekas bintang AF berentap sebelum 12 nama diumumkan layak ke peringkat seterusnya.

Disiarkan pada: September 5, 2017 @ 4:30am
d