rap

Aiman Tino korban 2 lembu

Oleh Norhadiani Baharom

Aidiladha yang disambut Jumaat lalu menjadi kenangan cukup manis dan bermakna buat penyanyi remaja lelaki popular, Aiman Tino.

Selain memanfaatkan perayaan bagi umat Islam itu bersama keluarga tercinta, Aiman juga berkesempatan menyumbangkan dua ekor lembu kepada penduduk sekitar Kuala Kubu Bharu.

“Saya sebenarnya tidak mahu hal itu digembar-gemburkan kerana apa yang saya lakukan adalah ikhlas. Tetapi mustahil untuk saya merahsiakan perkara itu kerana foto sekitar majlis kurban juga dimuat naik di laman sosial.

“Syukur alhamdulillah tahun ini tahun yang baik buat saya dan ada rezeki lebih. Jadi saya berniat untuk menyumbangkan daging korban kepada mereka yang memerlukan.

“Rezeki yang Allah SWT beri perlu dikongsi dengan orang lain dan saya teruja kerana kali pertama dapat menyumbangkan lembu untuk ibadat korban. Aidiladha tahun ini juga mengajar saya erti pengorbanan, malah saya sempat mempelajari cara penyembelihan dilakukan,” katanya.

Penyanyi berusia 19 tahun yang mencetuskan fenomena menerusi lagu Ku Rela Di Benci diikuti Permata Cinta, nampaknya terus mengukuhkan namanya dengan single terbaru Ku Hanya Sayang Padamu.

Bercakap mengenai single terbaru itu yang sedikit ‘up-beat’, ia turut mengulangi kejayaan lagu sebelumnya apabila meraih jumlah tontonan melebihi sejuta penonton kurang dari seminggu dimuat naik ke YouTube.

“Lagu itu muziknya agak rancak berbanding single sebelumnya. Saya fikir mungkin peminat yang sudah terbiasa mendengar lagu saya akan berasa sedikit janggal dengan perubahan itu.

“Bagaimanapun, jangkaan saya meleset apabila ramai yang menyukainya dan ada yang minta saya kekal dengan irama sebegitu kerana mereka berpendapat lebih sesuai dengan usia saya.

“Saya berterima kasih kepada peminat kerana menyokong video muzik single Ku Hanya Sayang Padamu,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 3:37am
d