rap

Arah filem komedi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Dalam pada industri hiburan tempatan dibanjiri artis baru, nama Mawi masih kekal utuh.

Meskipun populartinya tidak sehebat selepas menjuarai program Akademi Fantasia musim ketiga, Mawi, 36, tetap digilai dan mempunyai pengikut tersendiri.

Tidak hanya menyanyi dan terbabit dalam bidang perniagaan, Mawi juga berbakat sebagai sutradara.

Terbaru, Mawi yang popular dengan lagu Kalah Dalam Menang duet bersama Syamsul Yusof bakal mengarahkan sebuah filem komedi terbitan syarikatnya sendiri.

Malah pembabitannya dalam filem Munafik 2 dijadikan platform untuk mempelajari selok-belok kerja pengarahan daripada Syamsul Yusof.

“Antara sebab kenapa saya terima tawaran berlakon Munafik 2 kerana ingin belajar mengarah filem. Setiap hari di lokasi penggambaran, saya melihat bagaimana Syamsul mengarah. Kata orang sambil menyelam minum air.

“Kebetulan saya bakal menerbit dan mengarahkan filem komedi. Jadi peluang berlakon dalam filem ini kesempatan terbaik buat saya. Dari situ saya banyak melihat cara kerja pembikin filem.

“Bukan apa, sebelum ini saya pernah mengarah drama dan ia jauh berbeza. Bukan itu saja, saya juga banyak menonton filem dalam dan luar negara. Sedikit sebanyak ia memberi gambaran kepada saya mengenai teknik pengarahan,” katanya.

Bercakap mengenai filem itu, Mawi berkata, senarai pelakon dan judul filem sudah ada namun belum bersedia berkongsi lebih lanjut.

“Buat masa sekarang saya hanya boleh kongsi filem ini bergenre komedi ringan yang diselitkan sedikit unsur Islamik dan seram.

“Siapa pelakon biarlah rahsia dahulu. Insya-Allah kita akan mengadakan sesi sidang media,” katanya.

Disebabkan itu Mawi berkata, dia terpaksa berehat seketika daripada menerbit dan mengarah drama selepas yang terakhir sitkom berjudul Oh My Pondok yang ditayangkan di saluran Astro Oasis, baru-baru ini.

Berkongsi mengenai kerjaya nyanyian, Mawi yang baru muncul dengan lagu Bukan Propaganda juga duet dengan Syamsul Yusof belum bercadang untuk merakamkan lagu solo.

“Perancangan untuk menghasilkan lagu solo belum ada lagi. Mungkin ini bukan masa sesuai. Tambahan pula saya ada projek lain yang perlu diselesaikan. Saya tidak mahu terkejar-kejar melakukan semua perkara pada satu masa,” katanya.

Ditanya mengenai kemunculannya dalam filem Munafik 2, Mawi mengakui berdebar menunggu maklum balas penonton.

“Saya sedar filem Munafik berjaya meraih kutipan pecah panggung dan menjadi karya terbaik. Apabila ditawarkan berlakon dalam sekuel filem ini, saya agak risau. Bukan apa, jangkaan penonton pasti tinggi untuk filem ini.

“Namun saya sahut cabaran ini dan menganggap ia rezeki. Ini kali pertama saya menjayakan filem berat. Sebelum ini kebanyakannya komedi. Pendek kata ia satu pengalaman berharga, apatah lagi bekerja di bawah arahan pengarah terbaik Asia Pasifik,” katanya.

Dalam pada rancak merencana masa depan kerjayanya, Mawi juga tidak terlepas diajukan persoalan mengenai perancangan menambah anak.

Umum mengetahui Mawi yang berkahwin dengan Ekin dikurniakan anak perempuan, Cahaya Malaika yang kini berusia lima tahun.

“Siapa yang tidak mahu tambah anak lagi. Saya dan isteri sentiasa berusaha dan berdoa, cuma mungkin belum rezeki kami. Saya percaya Allah mempunyai aturan terbaik untuk setiap hamba-Nya.

“Saya bersyukur melalui hari-hari bahagia bersama isteri dan anak. Kehadiran mereka dalam hidup saya adalah satu nikmat dan rahmat,” katanya.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 3:43am
d