rap

Abang Long Fadil 2 cecah RM13 juta

Oleh Sudirman Mohd Tahir

FILEM Abang Long Fadil 2 terus cemerlang apabila mencatat kutipan RM13 juta sepanjang 13 hari ditayangkan sejak 24 Ogos lalu.

Filem arahan Syafiq Yusof itu tetap menjadi pilihan meski sepanjang minggu lalu terdapat beberapa cuti umum.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya tidak menjangka kutipan sebesar itu berdasarkan sambutan beberapa filem tempatan yang ditayangkan sebelum ini.

"Dari awal lagi kami tidak meletakkan sebarang sasaran berdasarkan kutipan teruk beberapa filem tempatan.

"Jadi apabila mendapat sambutan, ia memang di luar jangkaan kami. Saya menyifatkan ia satu kejayaan buat semua pihak yang bekerja keras mempromosikan filem ini," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu filem ini mencatat kutipan RM5 juta selepas lima hari ditayangkan. Ia bermakna purata kutipan filem ini RM1 juta untuk sehari.

"Satu penghargaan buat kami kerana mendapat sokongan peminat filem tempatan," katanya.

Sebelumnya rakaman penuh filem Abang Long Fadil 2 dimuat naik individu tidak bertanggungjawab di YouTube sebelum pihak penerbitan membuat laporan polis dan aduan kepada pihak YouTube.

Abang Long Fadil 2 dibintangi Zizan Razak, Datuk AC Mizal, Syamsul Yusof, Wak Doyok, Achey, Tania Hudson, A Galak dan Shuib.

Disiarkan pada: September 6, 2017 @ 5:42pm
d