rap

Hatta tolong kawan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Seringkali kita melihat kumpulan rock era 1980-an dan 1990-an diundang mengadakan persembahan untuk program realiti nyanyian di kaca TV sebagai tarikan buat penonton.

Ia sekali gus mengesahkan kehebatan kumpulan ini yang sukar ditandingi kumpulan baru dari aspek penciptaan lagu dan gimik persembahan.

Hakikatnya, tidak semua anggota kumpulan ini hidup selesa kerana ada antara mereka tidak mempunyai pendapatan tetap.

Ini mendorong Hatta, penyanyi kumpulan Junction menganjurkan Konsert Gegaran Rock Legenda yang bakal berlangsung di Bizpark Ulu Tiram, Johor, pada 30 Disember ini jam 8.45 malam.

Hatta berkata, matlamatnya untuk memberi sumber pendapatan buat rakan seangkatan yang hidup susah.

“Tahun lalu, kami mengadakan persembahan secara percuma anjuran Persatuan Rock Karisma dengan tujuan mahu menghimpunkan kumpulan rock yang masih aktif.

“Sambutan diterima sangat hebat membuatkan saya terfikir untuk menganjurkan konsert ini pula dengan konsep membantu memberikan pendapatan kepada rakan lain,” katanya.

Menurutnya, Konsert Gegaran Rock Legenda yang dianjurkan dengan kerjasama Biz Park Ulu Tiram serta Dreamz Toyz Music SG akan menampil­kan kumpulan Junction, Loving Born, Ababil, Zero Inc dan Overload.

“Loving Born terkenal dengan lagu Terima Kasih, Ababil (Cinta Belum Berakhir), Giegiel (Cahaya) manakala dua kumpulan lagi dari negara jiran, Singapura. Lagu mereka sangat popular dalam kalangan peminat.

“Saya anggap konsert ini sebagai permulaan. Jika berjaya dan mendapat sambutan, insya-Allah akan ada konsert seterusnya kerana ia tidak berakhir di sini,” katanya.

Mengakui ini cara terbaik bagi membantu kawan-kawan yang sering mengadu tidak mempunyai pekerjaan, Hatta tidak memikirkan akan beroleh keuntungan yang besar daripada konsert ini.

“Banyak halangan dilalui kerana kami buat sendiri tanpa sumber kewangan yang kukuh. Secara peribadi, saya tak kaut keuntungan daripada konsert ini tapi tujuan utama untuk menampilkan semula band lama yang lagunya hanya didengari di radio agar dapat dilihat secara ‘live’ oleh peminat.

“Tiket yang dikenakan berharga RM40 sangat murah bagi menarik ramai peminat. Secara peribadi, kami cuma beroleh pendapatan daripada apa yang dibayar ketika konsert,” katanya yang menyasarkan kehadiran 3,000 penonton.

Sebagai tarikan, Hatta turut menganjurkan pertandingan pakaian rock terbaik pada malam konsert yang menawarkan hadiah gitar elektrik, amplifier, keyboard dan gitar akustik tajaan Gama Rock Studio.

“Kami turut mengadakan cabutan bertuah supaya peminat yang datang tidak pulang dengan tangan kosong. Tiket sudah mula dijual dan kami akan meningkatkan promosi agar jualan bertambah.

“Saya amat berharap konsert ini dapat sambutan supaya pada masa depan, kami berpeluang bawa kawan-kawan lain untuk konsert seterusnya,” katanya.

Hatta berkata, pihaknya juga tidak dapat menampilkan nama besar akibat bajet yang terhad.

“Cuma, sekiranya konsert ini berjaya, saya janji akan bawa nama yang besar dan nama konsert mungkin diletakkan Konsert Gegaran Legenda Rock.

“Persembahan akan mengambil masa lebih tiga jam dan setiap kumpulan diberi peluang beraksi selama 35 minit,” katanya.

Kumpulan Junction akan beraksi bersama tiga anggota asal manakala Loving Born pula menampilkan Abu (penyanyi) dan Ramlan (gitar utama).

Keterangan lanjut mengenai konsert ini boleh diperoleh menerusi Facebook Rockarisma Performer, Facebook Bizpark dan Facebook Dreamz Toyz Music SG.

Disiarkan pada: September 7, 2017 @ 4:06am
d