rap

Kardashian timang anak ke-3

Oleh Michelle Gun

Pasangan selebriti kontroversi Hollywood, Kim Kardashian dan penyanyi Kanye West dikhabarkan bakal menimang cahaya mata ketiga, Januari depan.

Sumber memberitahu portal TMZ jantina bayi itu adalah perempuan dan akan dilahirkan oleh ibu tumpang yang menetap di San Diego, Amerika Syarikat.

Menurut portal People, selepas beberapa bulan mencari ibu tumpang sesuai, akhirnya Kardashian menemui wanita terbaik untuk mengandungkan anaknya itu.

“Keluarga pasangan terbabit teruja mendengar berita baik itu. Kardashian mengambil keputusan untuk mengupah ibu tumpang berikutan masalah kesihatan,” kata sumber.

Tambah sumber itu lagi, Kardashian yang juga selebriti program realiti Keeping Up With the Kardashians memastikan ibu tumpang terbabit mengamalkan diet sihat untuk perkembangan kandungannya.

“Pasangan berkenaan mahu segalanya berjalan lancar selain memastikan bayi dikandung sihat. Mereka tidak mahu ibu terbabit berdepan sebarang komplikasi dan Kardashian turut menyediakan senarai pemakanan ideal untuknya,” katanya.

Kardashian dan West mendirikan rumah tangga pada 2014 dan dikurniakan anak perempuan, North, 4, serta anak lelaki bernama Saint yang kini berusia 21 bulan.

Mereka terpaksa mencari alternatif untuk mendapatkan anak ketiga selepas Kardashian mengalami komplikasi ketika mengandung dua anaknya.

Selain itu, doktor turut menasihatkan Kardashian supaya membatalkan hasrat untuk mengandung lagi kerana bimbang nyawanya terancam.

Idea wanita itu untuk menggunakan ibu tumpang timbul dalam salah satu episod Keeping Up With the Kardashians pada April lalu ketika mendapatkan nasihat doktor untuk merawat masalah peranakannya.

“Saya dan suami sering berbincang untuk menimang ramai anak dan selepas kejadian di Paris, naluri mahu mengandung lagi semakin kuat,” katanya dalam episod itu.

Kardashian merujuk kepada pengalaman hitam dirompak sekumpulan lelaki yang melarikan barang kemas bernilai AS$11 juta ketika berada di Paris, Perancis, Oktober tahun lalu.

Difahamkan, ibu tumpang terbabit dicadangkan kepada Kardashian oleh sebuah agensi dan wanita itu pernah melahirkan anak untuk pasangan lain sebelum ini.

TMZ melaporkan, kos mengambil ibu tumpang sangat tinggi, namun jumlah yang ditetapkan bukan masalah kepada pasangan berkenaan.

Disiarkan pada: September 8, 2017 @ 8:49am
d