rap

Sufian Suhaimi tak gentar berdua

Oleh Norhadiani Baharom

Meskipun keputusannya menamatkan zaman bujang dengan gadis pilihan hatinya yang juga pelakon popular, Elfira Loy pada tahun depan mengundang pertikaian dalam kalangan segelintir peminat dan netizen, penyanyi Sufian Suhaimi, 25, tidak pernah gentar dengan langkah yang diambilnya.

Malah Sufian yang dikenali melalui lagu Terakhir, percaya pada rezeki Allah SWT dan untuk mendapatkannya manusia harus berusaha.

Pegangan ini membuatkan Sufian tidak pernah gentar untuk melangkah ke fasa hidup yang seterusnya. Dia berpendapat harus memberi fokus kepada kerjaya nyanyian yang sedang melonjak naik ketika ini.

“Kadang-kadang rasa tertekan juga apabila membaca komen netizen yang adakalanya memberi komentar tidak berasas dan tak beralas.

“Cara terbaik saya lakukan adalah tidak memberi perhatian pada apapun yang mereka lemparkan. Memang ada contoh artis yang selepas mendirikan rumah tangga kerjaya mereka jatuh merudum.

“Tetapi ada juga artis yang lebih menyerlah dan berjaya walaupun sudah berstatus isteri atau suami orang. Contohnya Faizal Tahir.

“Bagi saya yang paling mustahak sekali adalah berusaha kerana rezeki tidak datang bergolek atau turun dari langit. Semuanya memerlukan inisiatif dan kerajinan,” katanya.

Kata Sufian, jika kita rajin dalam melakukan sesuatu pekerjaan, insya-Allah pasti ada habuannya.

“Bumi Allah SWT ini luas. Bahkan saya sentiasa bersiap sedia dengan aturan dunia hiburan yang kadang-kadang kita di atas dan ada masanya di bawah.

“Persiapan masa depan perlu dirangka dari awal dan tidak boleh bergantung harap pada nyanyian saja,” katanya terharu kerana sikap ambil berat yang ditunjukkan peminatnya.

Apa pun, Sufian tidak melihat kata-kata netizen itu sebagai ujian bertunang tetapi ujian untuk buat benda baik.

Justeru, dia amat bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan menyokong keputusannya untuk berkahwin muda dan sentiasa merestui hubungannya dengan Elfira.

“Saya tidak melihat keputusan untuk berkahwin akan ‘membunuh’ karier seni saya, sebaliknya yakin dan pasti ada rezeki buat mereka yang mahu berkahwin, sekali gus memilih jalan diredai Allah SWT,” katanya.

Tegas Sufian, tiada yang pelik apabila bercakap mengenai perkahwinan pada usia muda. Malah sebenarnya ramai yang mendirikan rumah tangga pada awal usia 20-an.

“Saya percaya keputusan itu juga tidak akan membunuh karier nyanyian kerana itu semua rezeki daripada Tuhan.

“Sebagai anak seni, saya akan terus berkarya kerana muzik itu misteri dan subjektif. Kalau lagu yang dihasilkan bagus, tentu orang suka,” katanya.

Sufian dan Elfira bakal melangsungkan majlis pertunangan pada 6 Oktober depan di kediaman keluarga Elfira.

Mengenai tarikh perkahwinan, Sufian hanya dapat mengesahkan mereka merancang untuk bernikah sekitar tahun depan tetapi bila tarikhnya belum dibincangkan lagi.

Sementara itu, Sufian juga baru saja tampil dengan single baru, Terasa Ada yang dicipta bersama komposer Sirkhan.

Disiarkan pada: September 9, 2017 @ 2:45am
d