rap

Keindahan Zalikha

Oleh Norhayati Nordin

Hanya berbekalkan single Zalikha nyata membawa tuah buat kumpulan Floor 88 untuk mengumpul peminat.

Siapa sangka dalam tempoh empat bulan, muzik video Zalikha dimuat naik ke YouTube meraih 14 juta tontonan.

Menganggap ia sebagai rezeki, perjalanan perjuangan muzik Floor 88 diakui masih jauh untuk berada pada tahap selesa.

Dianggotai enam anak muda, Floor 88 diterajui Nik Fadlee Elhamshah atau Ayie, 21, selaku vokalis, Zai Hamzah (Achoi, 26, gitar utama), Muhammad Falikh Ghazali (Falique, 29, bass), Muhamed Eric Muhamed Fuzi (Eric Puzi, 25, keyboard), Muhammad Akram Kadir (Akram, 27, dram) dan Amirul Affeq Mohd Fuaad (Amir, 26, gitar kedua).

Berbicara mengenai impak populariti dikecapi kini, Achoi sebagai ketua kumpulan berkata, hanya ucapan terima kasih dan perasaan gembira mampu diluahkan kepada peminat yang menyokong.

“Kami bermain muzik kerana minat dan jauh di lubuk hati memang mengharapkan karya lagu dipersembahkan Floor 88 diterima peminat.

“Apatah lagi tidak mudah untuk kami mendapat peluang sekali gus meraih keyakinan peminat untuk menerima lagu dihasilkan.

“Apapun, Floor 88 berterima kasih kepada pemuzik dan komposer berkaliber, Harry Khalifah yang banyak membantu kami,” katanya.

Menurut Achoi, memandangkan sekarang banyak kumpulan muzik baru semestinya Floor 88 muncul dengan imej muzik tersendiri.

Justeru, mengambil kira pandangan daripada pemuzik berpengalaman seperti Harry, susunan muzik lagu Zalikha disuntik dengan elemen tradisional.

“Bagi mewarnai keindahan melodi lagu Zalikha, kami gabungkan elemen muzik tradisional seperti gamelan, gambus dan seruling.

“Tidak sangka gabungan elemen muzik moden dan tradisional ini menjadi dan lagu Zalikha berjaya mendapat tempat di hati peminat,” katanya.

Achoi berkata sambutan baik yang diterima itu membuatkan Floor 88 kini giat melakukan promosi dan publisiti untuk lagu Zalikha.

Mengenai perancangan single kedua, Achoi berkata ia ada difikirkan tetapi tumpuan kini masih difokuskan pada lagu Zhalika.

Menurutnya, Floor 88 juga tidak mahu terburu-buru apatah lagi buat masa sekarang didapati populariti lagu Zalikha masih melonjak.

“Pencapaian lagu ini dalam carta lagu di stesen radio juga dilihat memberangsangkan. Jadi, biarlah kami fokus satu demi satu.

“Apa yang penting bagi Floor 88 ialah mengukuhkan tapak kami dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Bagi Ayie pula, Floor 88 masih baru membina nama dan mengorak langkah dalam persaingan muzik arus perdana.

“Banyak pengalaman yang perlu kami terokai dan timba untuk memperoleh kepuasan dalam perjuangan muzik ini.

“Apatah lagi kami memiliki impian besar untuk berusaha menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa. Kami mempunyai cita-cita untuk membawa genre muzik diperjuangkan ini hingga ke luar negara. Mana tahu ada rezeki,” katanya.

Yakin Sentiasa Bersatu

Perpecahan dalam kumpulan bukan perkara baru dalam sesebuah band. Apatah lagi jika mempunyai anggota yang ramai.

Mungkinkah Floor 88 juga bakal melalui sejarah silam banyak kumpulan muzik terdahulu yang akhirnya membawa haluan masing-masing.

Bagi Eric, masih terlalu awal untuk Floor 88 memikirkan episod perpecahan ini kerana perjuangan mereka baru bermula.

Katanya, permasalahan dalam kumpulan adalah perkara biasa tetapi paling utama cara untuk menyelesaikannya.

“Bagi kami, perkara utama dilakukan adalah berbincang dan masing-masing perlu membuang ego demi Floor 88.

“Apapun, saya yakin kami berenam akan sentiasa bersatu kerana kejayaan dikecapi kini adalah hasil usaha bersama.

“Setakat ini pun, kami semua tiada masalah sesama sendiri dan masing-masing bagaikan satu keluarga,” katanya.

Mengenai perpecahan berlaku sering berpunca daripada vokalis, Ayie berkata dia akan setia bersama Floor 88.

“Saya tidak pernah terfikir mahu angkat kaki meninggalkan Floor 88 kerana banyak susah senang dilalui bersama.

“Bagi saya, selagi peminat menyokong perjuangan muzik Floor 88 pasti kami akan terus bersatu dan berkarya,” katanya.

Ayie juga akui selesa dengan semua anggota Floor 88 yang dianggapnya sebagai keluarga.

Disiarkan pada: September 10, 2017 @ 4:36am
d