rap

Medan terbaik jumpa peminat

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kehadiran artis sempena Karnival Inisiatif Peduli Rakyat di Padang Awam Kampung Baru Batu Caves, Gombak, baru-baru ini disambut meriah oleh masyarakat sekitar.

Sebelum ini, Karnival Inisiatif Peduli Rakyat membuka pentas di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Kuala Lumpur pada pertengahan Mei lalu menampilkan artis Redza Hamid, Alif Redza dan Azarraband yang menghiburkan peminat dengan nyanyian mereka.

Bagaimanapun, kelainan dilakukan kali ini dengan menampilkan konsep permainan street soccer (bola sepak jalanan) dan sepak takraw menampilkan Zahid Baharuddin (Zahid AF), Syamel, Izzmad Harun, Edaman Qanda dan pereka fesyen, Fairuz Ramdan.

Istimewanya, mereka bermain bersama lima kanak-kanak sekolah tempatan berusia di bawah 12 tahun yang sememangnya berbakat besar dalam permainan bola sepak jalanan.

Penyampai radio terkenal Kieran pula ditampikan sebagai hos yang mengendalikan perjalanan karnival ini.

Selain permainan, acara turut diselang-seli dengan info berguna berkenaan 38 skim terkandung dalam program ini yang bertujuan untuk memberi manfaat kepada penduduk.

Barisan artis terbabit mengakui berbesar hati terpilih menjayakan karnival yang meriah ini. Peluang itu juga digunakan sebaik mungkin bagi memperkenalkan nama dan lagu terbaru masing-masing buat peminat.

Syamel berkata, dia sememangnya meminati permainan bola sepak dan pembabitan dengan program sebegini amat ditunggu-tunggu.

“Saya bermain bola sepak sebagai cara untuk menjaga kesihatan. Apabila diajak terbabit dengan karnival ini, saya terus bersetuju.

“Apa yang saya nampak, karnival ini sangat meriah dan berjaya menarik kehadiran pelbagai golongan daripada yang kecil sehinggalah yang besar,” katanya.

Zahid pula memberitahu, pemilihan artis bagi menjayakan karnival itu juga satu tindakan bijak kerana boleh menarik kehadiran ramai pengunjung serta mengambil bahagian dalam acara diadakan.

Izzmad pula mengakui sebagai artis baru, dia teruja apabila dipilih bermain futsal bersama rakan-rakan artis lain dan peminat.

“Saya dikira masih baru dan ini peluang terbaik untuk saya mempromosikan diri kepada peminat. Karnival ini dapat mengeratkan hubungan saya dengan semua pihak.

“Seronok kerana kebetulan saya memang suka bermain bola sepak. Syabas kepada penganjur kerana mengambil peluang ini untuk menggalakkan semangat bersukan ‘Peduli Sihat’ sambil mengeratkan hubungan silaturahim masyarakat sekitar,” katanya yang meminta agar program begini kerap diadakan.

Disiarkan pada: September 11, 2017 @ 11:19am
d