rap

Heliza berduet dengan adik

Oleh Syanty Octavia Amry

Meskipun aktif menyertai program misi membantu mangsa perang, Heliza Helmi tetap meletakkan bidang nyanyian sebagai keutamaan.

Walaupun tidak lagi seaktif dahulu, peluang menghiburkan khalayak dengan menyampaikan lagu ketika memberikan ceramah dapat mengubat kerinduannya.

Terbaru, Heliza tampil dengan single baharu berjudul Izinkan dan berharap ia diterima ramai.

Menerusi lagu itu, Heliza berduet dengan adik kandungnya, Hazwani Helmi dan dua lagi penyanyi iaitu Sofea Humairan serta Alya Yassin.

Menariknya, single berkenaan turut dilancarkan serentak dengan program Izinkan Kami Sebarkan Cinta (IKSC) yang diadakan baru-baru ini.

“Single ini diharap dapat mengubat rindu peminat terhadap saya. Walaupun sibuk, apabila ditawarkan terbabit dalam program ini di samping melancarkan single, saya fikir ia peluang terbaik untuk kembali dengan lagu baru.

“Sebelum ini saya hanya berpeluang melancarkan lagu di laman YouTube tetapi kali ini pelancaran agak besar-besaran kerana turut terbabit dalam program IKSC,” katanya.

Heliza berkata, pembabitannya dalam IKSC juga kerana sudah lama ditawarkan oleh Erwan, The Muhibbain.

“Saya tertarik dengan program ini kerana ia tidak hanya mengajak orang ramai bersama-sama menyemai cinta tetapi turut menghimpunkan penggiat seni, ilmuwan dan usahawan.

“Harapan saya, program ini tidak hanya sekadar memberi ceramah dan menyanyi, mungkin juga akan memberi peluang untuk dikembangkan kepada sitkom,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Heliza berkata, misi ke Syria bakal diteruskan lagi pada Disember ini.

“Insya-Allah, jika tiada aral kami merancang ke Syria lagi dan sedang mencari dana.

“Walaupun sebelum ini kami berjaya mendapatkan dana RM1.7 juta, ia belum cukup dan diharap dapat lebih lagi kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 8:20am
d