rap

Salam perkenalan daripada Meer

Oleh Michelle Gun

Selepas berpisah dengan kumpulan Votez, Meer Nash atau nama sebenarnya Muhamad Shahmeer Mohd Nashrul kini bergerak solo dan sudah mempunyai beberapa perancangan baru untuk karier nyanyiannya.

Malah, penyertaannya dalam pertandingan Chinese Bridge ke-16 di Changsha, China, Ogos lalu menguatkan semangat anak muda ini untuk menyertai program realiti nyanyian di negara itu.

“Saya kini bernaung di bawah pengurusan baru iaitu On Muse dan mereka akan membantu saya merealisasikan impian menyertai program realiti di China.

“Buat masa sekarang, saya belum fikir program realiti mana yang mahu disertai,” katanya ketika bertandang ke Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sekembali daripada pertandingan Chinese Bridge, penyanyi berusia 22 tahun itu memperkenalkan lagu baru berjudul Tetap Setia.

“Saya berduet dengan Maisarah Ukulele. Lagu ini adalah salam perkenalan sebelum tampil dengan single solo sulung dalam masa terdekat,” katanya yang fasih bertutur bahasa Mandarin.

Bukan itu saja, pengalaman menyertai pertandingan Chinese Bridge meyakinkan pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam ini untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Mandarin.

“Saya perlu memilih lagu dan komposer sesuai kerana merancang mempertaruhkannya di China.

“Semua ini masih dalam perancangan termasuk mengeluarkan album mini,” katanya.

Tidak segan berkawan

Berkongsi pengalaman berada di Changsha selama sebulan, Meer berkata pertandingan itu menjadikannya lebih matang dan berani.

“Sebenarnya saya segan mahu memulakan perbualan dengan kenalan baru dari negara lain kerana kurang pasti perlu bertutur dalam bahasa apa dengan mereka.

“Selain itu, budaya mereka berbeza dan saya risau jika kehadiran tidak diterima.

“Namun, ketika menyertai pertandingan mereka melayan saya dengan baik dan mesra,” katanya.

Kali pertama menjejak kaki ke China, dia berpeluang berkunjung ke beberapa destinasi perlancongan menarik termasuk Tembok Besar China.

“Saya sempat membuat persembahan di jalanan dan mendapati penduduk di sana sukakan hiburan.

“Sebenarnya rakyat China kagum melihat orang asing dapat bertutur dalam bahasa mereka.

“Malah, sewaktu melawat Tembok Besar China bersama peserta lain, ramai datang mengambil gambar dan melayan kami dengan baik,” katanya yang sentiasa meletakkan pelajaran sebagai keutamaan.

Disiarkan pada: September 13, 2017 @ 8:22am
d