rap

Mr Big gegar KL

Oleh Riadz Radzi

Selepas hampir 23 tahun, band hard rock antarabangsa popular, Mr Big kembali ke Malaysia menerusi Konsert Mr Big Live In Malaysia di Mega Star Arena, Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur pada 14 Oktober ini.

Konsert anjuran Plan 7 Production ini sebagai tanda menyokong album terbaru mereka berjudul Defying Gravity yang mula dipasarkan bulan ini.

Apa yang menarik, album itu hanya dirakam dalam masa enam hari saja.

Pada November 1994, band asal Los Angeles, Amerika Syarikat yang dianggotai Eric Martin (penyanyi), Paul Gilbert (gitar), Billy Sheehan (bass) dan Pat Torpey (dram) ini mengadakan konsert sulung mereka di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur yang disaksi lebih 6,000 penonton.

Kini, dengan anggota yang sama, Mr Big bakal menggegarkan lagi Kuala Lumpur. Pastinya ia konsert dinanti-nantikan peminat rock tempatan apatah lagi mereka memang dikenali dengan kelebihan dari segi kemahiran mengendali alat muzik, kekuatan vokal serta vokal berharmoni.

Selain Kuala Lumpur, Mr Big turut singgah di Manila dan Singapura. Selain itu, mereka turut mengadakan konsert di Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Tiket berharga RM568 (VVIP), RM468 (VIP), RM328 (PS1) dan RM188 (PS2) boleh didapati menerusi TicketCharge di www.ticketcharge.com.my atau hubungi 03-92228811.

Mr Big cukup diingati menerusi tiga album terawal iaitu Mr Big pada 1989, Lean Into It (1991) dan Bump Ahead (1993).

Daripada tiga album itulah terhasil lagu-lagu ‘evergreen’ mereka seperti Anything For You, Just Take My Heart, Green Tinted Sixties Mind, Wild World, Promise Her The Moon, To Be With You dan Alive & Kickin’.

Selain tiga album ini, Mr Big turut tampil dengan album Hey Man pada 1996, Get Over It (1999), Actual Size (2001), What If...(2011) dan ...The Stories We Could Tell (2014).

Selepas mengalami beberapa episod perpecahan termasuk dibubarkan pada 2002, Mr Big kembali bersama pada 2008.

Dalam pada itu, pemain dram Pat Torpey kembali bermain untuk Mr Big selepas digantikan oleh Matt Starr dalam konsert jelajah sebelum ini.

Torpey sebelum ini terpaksa berehat selepas disahkan menghidap Parkinson pada 2014.

Disiarkan pada: September 14, 2017 @ 4:13am
d