rap

Azmir masuk hospital muntah teruk

Oleh Rudy Imran Shamsudin

PENYANYI Azmir Arif dikejarkan ke Pusat Perubatan Jerudong Park, Brunei Darussalam selepas beberapa kali muntah sebaik selesai membuat persembahan.

Azmir yang diundang menjayakan persembahan di Brunei sempena sambutan hari jadi salah seorang kerabat diraja semalam, pada peringkat awal mengalami masalah sakit perut.

Pengurusnya, Nazir Abdul Razak ketika dihubungi berkata, Azmir mula rasa tidak sedap badan petang semalam, sebelum persembahan bermula.

“Waktu itu dia memberitahu saya berasa sakit perut. Saya katakan kepadanya kalau tidak sihat kita boleh beritahu penganjur yang dia tidak sihat dan tidak perlu menyanyi.

“Bagaimanapun Azmir berkeras untuk menyanyi juga malam itu seperti yang dijanjikan dengan penganjur, walaupun pada malam itu badannya mula terasa lemah,” katanya.

Jelas Nazir, sepanjang berada di pentas tidak ada perkara buruk berlaku dan Azmir mampu bertahan sehingga nyanyian tamat.

“Sebaik dia selesai menyanyi, Azmir terus berlari ke tandas dan muntah. Keadaannya agak serius apabila muntah tanpa henti. Disebabkan itu, saya dan penganjur terus membawanya ke Pusat Perubatan Jerudong Park,” katanya.

Sebaik tiba ke pusat perubatan terbabit, doktor menahannya dan mengesahkan Azmir mengalami demam panas dan kehilangan banyak air dalam badan.

Kata Nazir lagi, sepatutnya malam ini Azmir dijadualkan akan mengadakan satu lagi persembahan, bagaimanapun keadaannya masih lagi belum pulih sepenuhnya.

Disiarkan pada: September 19, 2017 @ 4:56pm
d