rap

Joanna temui kepuasan

Oleh Nor Akmar Samudin

Minat pelakon dan pengarah teater Joanna Bessey, 40, terhadap dunia lakonan tidak pernah pudar, namun tanggungjawabnya sebagai pengetua Enfiniti Academy membataskan langkahnya untuk bergerak aktif dalam bidang dicintainya itu.

Menjadi ibu kepada seorang anak lelaki berusia enam tahun juga memerlukannya lebih fokus kepada cinta hatinya itu.

Menurut Joanna, dia terpaksa berkorban demi melihat anaknya membesar depan matanya dan tawaran menjadi pengetua Enfinity Academy itu tiba tepat pada masanya.

Enfiniti Academy di Kota Damansara, Petaling Jaya menyediakan kelas drama, vokal dan tarian sejak 2011.

“Kini saya mencurahkan segala ilmu yang saya pelajari dalam bidang pendidikan pula,” katanya.

Apabila bercerita mengenai kerinduannya untuk kembali beraksi dalam bidang lakonan, Joanna tidak menolak jika dia mendapat tawaran yang menarik dan mempunyai kelapangan waktu untuk melakukannya.

Raut wajah kacukannya itu amat bersesuaian jika berlakon dalam drama atau filem epik.

“Untuk membawakan watak perempuan Melayu sebenar memang tidak berapa sesuai dengan saya,” katanya.

Bagaimanapun, bakat seninya tidak terkubur begitu saja kerana dia kini aktif sebagai pengarah teater dan dia menemui kepuasan di situ.

“Sebagai pelakon saya hanya terbabit dalam satu sudut seni saja tetapi sebagai pengarah ia membabitkan hampir keseluruhan kerja pementasan.

“Saya dan kru akan berbincang untuk memastikan sudut pementasan yang menarik termasuk dari segi pencahayaan. Pendek kata, saya berhak menentukan apa yang terbaik untuk pementasan itu.

“Jika sebagai pelakon saya terpaksa menurut arahan pengarah saja, tapi saya akui sebagai pelakon atau pengarah ada kepuasan dan keseronokan yang tersendiri,” katanya.

Antara teater arahan Joanna ialah teater muzikal komedi Aladdin Reloaded yang dipentaskan di PJ Live Arts Theatre, Jaya One, Petaling Jaya, dua tahun lalu.

Berkongsi pengalaman awal pembabitannya dalam dunia seni, Joanna berkata, sebaik saja menamatkan pengajiannya dalam bidang kesusasteraan Inggeris dan seni persembahan di England yang juga negara asal bapanya, dia pulang ke Malaysia.

Di sini dia mendapat tawaran berlakon dalam sitkom Kopitiam iaitu sitkom terpanjang yang pernah diterbitkan pada 1998.

Sitkom itu bertahan sehingga tujuh musim membabitkan 200 episod. Kopitiam turut dilakonkan Lina Teoh, Douglas Lim, Rashid Salleh, Tan Jin Chor dan Mano Maniam.

“Hingga sekarang orang ingat saya kerana Kopitiam dan ia sudah terlalu sebati dengan diri saya. Sebenarnya saya suka berlakon drama komedi tetapi saya bukanlah seorang pelawak,” katanya yang pernah muncul dalam filem Waris Jari Hantu dan 1957- Hati Malaya.

Dia juga pernah mencuba nasib untuk menjadi pelakon di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat (AS), tetapi tidak begitu menyukai budaya dunia hiburan di sana.

“Ketika di LA, saya bekerja dengan sebuah produksi dan dapatlah juga berlakon filem di sana dengan membawa watak kecil. Saya selalu pergi uji bakat dan pada masa sama, ada juga tawaran berlakon di Malaysia.

“Saya rasa industri hiburan di sana terlalu besar dan mereka beritahu wajah saya tidak berapa sesuai untuk berlakon di sana. Waktu itu mereka tidak begitu memandang bakat pelakon yang berwajah campuran sehinggalah filem Slumdog Millionaire yang diterbitkan pada 2008 menjadi filem yang amat berjaya di AS,” katanya yang kembali ke tanah air selepas sukar mendapat tempat di sana.

Dalam pada itu, Enfiniti Academy akan mengadakan Musical Theatre Bootcamp yang dikendalikan pelakon Stephen Rahman-Hughes pada November dan Disember ini yang terbuka kepada mereka berusia tujuh hingga 15 tahun dan orang dewasa.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 12:59am
d