rap

Cabaran baru Ejen Ali

Oleh Ramlah Zainal

MUSIM kedua siri animasi popular Ejen Ali menjanjikan karya yang lebih hebat dengan mengembangkan kerjaya pengintipan rahsia khusus untuk peminat setianya.

Ejen Ali adalah siri animasi pertama usahasama Primeworks Studios Sdn Bhd dengan Wau Animation Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya amat teruja dengan kejayaan musim pertama Ejen Ali yang tamat pada Januari lalu.

“Kejayaan musim pertama Ejen Ali amat memberangsangkan. Kami berharap dengan kualiti tinggi dalam penceritaan dan kepelbagaian watak yang ditonjolkan dalam musim kedua ini, ia mendapat sambutan lebih hangat,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid berkata, musim kedua Ejen Ali juga membawa lebih banyak konflik dan cabaran ketika dia menjalankan misi di samping ejen muda agensi itu.

“Menerusi musim kedua ini, Ejen Ali akan menyertai Akademi Latihan MATA untuk mengasah bakat dalam bidang pengintipan dan menjalankan misi bersama ejen muda lain.

“Dengan kepelbagaian watak dan persekitaran baru, pihak kami sudah memperluaskan dunia Ejen Ali untuk menawarkan penceritaan dan pengalaman menonton yang lebih menarik,” katanya.

Sementara itu, peminat Ejen Ali juga berpeluang untuk menonton dua episod pertama Ejen Ali musim kedua secara berturut-turut di pawagam.

Peminat juga berpeluang untuk bertemu dengan maskot Ejen Ali dan membawa pulang poster yang ditandatangani barisan pelakon secara percuma dengan setiap pembelian tiket sementara stok masih ada.

Tayangan eksklusif ini terhad hanya pada Sabtu dan Ahad ini di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC), pusat beli-belah 1 Utama di mana pembelian tiket boleh dilakukan melalui dalam talian.

Selain itu, kerjasama menarik yang memberikan nafas baru bagi jenama Ejen Ali adalah melalui aplikasi permainan mudah alih Ejen Ali oleh MPLabs, sebuah initiatif Media Prima Digital iaitu aplikasi Ejen Ali : Emergency dan Ejen Ali: MATA Training Academy.

Peminat turut berpeluang untuk mendapatkan kemeja-T edisi khas yang hanya dijual secara eksklusif melalui aplikasi permainan itu.

Tayangan musim kedua Ejen Ali bermula Jumaat ini di TV3 jam 5.30 petang dan siaran ulangan secara dalam talian menerusi www.tonton.com.my.

Disiarkan pada: September 20, 2017 @ 11:38pm
d