rap

Penyatuan seni, ilmu

Oleh Syanty Octavia Amry

Berharap impiannya menyatukan penggiat seni hiburan, ilmuwan dan usahawan di bawah satu bumbung terlaksana, ahli kumpulan The Muhibbain, Erwan mahu program Izinkan Kami Sebarkan Cinta (IKSC) terus diberi perhatian.

Jika sebelum ini ramai menyokong pelbagai program hiburan, IKSC pengisiannya lebih kepada hiburan yang turut menyelitkan ilmu keagamaan.

Di bawah nama Mari, Mari, Mari, mereka yang terbabit akan berkongsi topik menarik yang akan dirakamkan untuk tontonan umum kelak.

“IKSC tidak hanya bertumpu kepada nyanyian semata-mata sebaliknya turut diadakan program ceramah dan motivasi.

“Kami menyasarkan sekolah, balai bomba dan balai polis untuk mengadakan program ini supaya masyarakat terasa lebih dekat dengan ikon-ikon yang terbabit,” katanya.

Oleh itu, Erwan berharap lebih ramai lagi penggiat seni, usahawan dan ilmuwan tampil menjayakan program ini.

“Program ini baru saja dilancarkan. Saya berharap ia akan mendapat sokongan semua pihak kerana kami mahu ia jadi acara tahunan.

“Kami menyediakan program hiburan yang masih terkawal iaitu di samping ceramah, artis seperti Heliza Helmi, Hazwani Helmi dan Zahid Baharudin juga akan turut sama menghiburkan orang ramai menerusi lagu bertajuk Izinkan dan Sebarkan Cinta,” katanya.

IKSC masih memerlukan dana dan sokongan daripada orang ramai supaya ia dapat dilaksanakan secara berterusan.

Disiarkan pada: September 21, 2017 @ 1:09am
d