rap

Kebun Cinta masuk ITBM

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bermula Februari lalu, Biro Kesenian & Kebudayaan Pertubuhan Warisan Anak Jawi (PEWAJA) aktif menganjurkan program Kebun Cinta yang menghidangkan persembahan akustik, nyanyian, bacaan puisi, monolog, diskusi dan apresiasi seni yang berlangsung setiap malam minggu di Kota Damansara, Selangor.

Bagaimanapun, buat julung kalinya, PEWAJA akan membawa Kebun Cinta keluar ke Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Kuala Lumpur esok dan dinamakan sebagai Kebun Cinta Edisi Khas.

Pengerusinya Amirrudin Nordin berkata, Kebun Cinta diwujudkan sebagai medan menghimpun dan menyatukan penggiat serta peminat kesenian dalam usaha menyampaikan mesej ketuhanan dan kemanusiaan melalui jalan kesenian.

“Untuk persembahan Kebun Cinta Edisi Khas kali ini, kami akan menampilkan sebuah persembahan istimewa oleh saudara Wanji Aswandi dan Saidin Omar atau lebih dikenali sebagai Adinda Amiro.

“Selain persembahan, Biro Kesenian & Kebudayaan juga menawarkan program Klinik Kemahiran Seni & Kesenian yang bermatlamat meningkatkan kemahiran dan keyakinan diri melalui dua kelas yang dikelolakan Adinda Amiro serta Wanji Aswandi,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua insan kreatif ini akan berkongsi ilmu melalui kelas ‘Menjadi Komposer Dalam Masa Sehari’ dan ‘Tancak Budi Sejati’ iaitu sejenis praktik meditasi Adab dan Aurad Melayu dalam membangkitkan daya dalam diri.

Dalam program sama, PEWAJA turut menganjurkan Klinik Kemahiran Seni & Kesenian yang akan bermula pada jam 11 pagi hingga 4 petang dengan yuran penyertaan dikenakan RM 110 seorang.

Amiruddin berkata, Kebun Cinta Edisi Khas juga dalam usaha menghimpun dana #MisiKemanusiaanKaryawanSeni, bagi membantu dan menyahut sikap keprihatinan dramatis Fauziah Nawi berkenaan pekerja industri seni yang berada dalam kesusahan terutama pengidap sakit kronik sehingga tidak mampu menyara keluarga.

“Ini bertepatan matlamat penubuhan PEWAJA yang membawa maksud matlamat dakwah persaudaraan demi menyatukan, membangun dan menjaga kesatuan umat Islam serta bangsa Melayu khususnya berdasarkan Pendidikan, Kesenian, Kebajikan,

Ekonomi dan Keselamatan.

“Sehingga kini, PEWAJA sudah melaksanakan beberapa program iaitu Program Cilik Pondok Waja untuk kanak-kanak sempena cuti sekolah, Bina Diri Wanita untuk membina jati diri wanita dalam menghadapi cabaran zaman kini, Kursus Asas Rawatan Islam dan Kursus Asas Sembelihan,” katanya.

Kebun Cinta Edisi Khas di Dewan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) akan berlangsung pada jam 8.30 malam dengan sumbangan masuk RM35.

Yuran Pakej untuk kedua-dua Klinik Kemahiran Seni & Kesenian dan Kebun Cinta Edisi Khas hanya RM130.

Peminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dan menempah tiket menerusi Instagram PEWAJA dan Facebook Pertubuhan Warisan Anak Jawi.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 1:54am
d