rap

Persembahan hebat setanding reputasi

Oleh Riadz Radzi

Menyaksikan konsert Noah yang kini dilabel sebagai band nombor satu dan paling mahal di Indonesia sememangnya memberi perspektif dan pengalaman berbeza.

Reputasi itu dibuktikan Noah dalam setiap konsert mereka dan jadual yang cukup padat.

Dalam setahun, Noah yang dianggotai Ariel (penyanyi), Lukman (gitar), Uki (gitar) dan David (keyboard) mengadakan konsert di 150 bandar di seluruh Indonesia. Mereka hanya diberi cuti ketika sambutan Aidilfitri saja.

Di depan mata penulis, Noah yang sebelum ini dikenali sebagai Peterpan mengegar pentas bersama lebih 7,000 peminat setia mereka dalam Konsert Noah - Road To New Album di Pangkalan Udara Sulaiman, Margahayu, Bandung.

Bandung dipilih sebagai lokasi konsert berkenaan kerana ia adalah tempat asal Noah.

Bersesuaian dengan reputasi mereka, Noah tampil dengan produksi konsert mega berserta pentas gergasi, sistem bunyi dan pencahayaan canggih.

Ini ditambah dengan kemahiran setiap anggota Noah termasuk dua pemuzik undangan iaitu Lanlan (bass) dan Rio (dram) mengendalikan instrumen masing-masing.

Jadi, apa yang terhasil pada malam itu cukup ‘menyedapkan’ mata dan telinga.

Paling menarik, dengan produksi sedemikian penganjur hanya mengenakan bayaran tiket sebanyak 20,000 rupiah (RM6.30) saja!

Bayangkan harga tiket yang sama dikenakan dalam konsert band atau penyanyi nombor satu di Malaysia? Pastinya ia sesuatu yang mustahil.

Menurut penganjur, sokongan padu daripada penaja dan penduduk yang ramai membuatkan mereka mampu meletakkan harga tiket murah.

Dalam konsert yang bermula jam 8.30 malam itu, Noah tampil dengan lagu Para Penerka daripada album Satu Project bersama Iwan Fals.

Ia kemudian diteruskan dengan lagu Topeng, Ku Katakan Dengan Indah dan Dara.

Dalam konsert itu, Noah turut mengundang penyanyi dan pemain gitar berbakat Sheryl Sheinafia yang membawakan lagu Ku Tunggu Kau Putus dan Menunggumu.

Paling menarik, konsert berkenaan turut mengundang band NEV+ atau Nidji Electronic Version + yang membawakan lagu daripada Peterpan iaitu Langit Tak Mendengar dan Tak Bisakah dinyanyikan Ariel.

NEV+ adalah ‘serpihan’ daripada band popular Indonesia iaitu Nidji. Ia ditubuhkan sejak tiga tahun lalu dan dianggotai semua anggota Nidji iaitu Andro, Randy, Rama, Adri dan Andi kecuali penyanyi mereka, Giring yang akan meninggalkan Nidji mulai Januari tahun depan kerana mahu aktif dalam politik.

Gabungan NEV+ bersama Noah pada malam itu cukup mengujakan penonton dengan persembahan yang cukup ‘energetic’.

Selain itu, Noah turut membawakan lagu yang dekat dengan peminat mereka seperti Situation, Jalani Mimpi, Separuh Aku, Seperti Kelmarin, Cobalah, Andaikan dan single terbaru mereka berjudul Wanitaku.

Walaupun dilabel sebagai band nombor satu, Noah tetap merendah diri apabila diajukan pertanyaan mengenai kedudukan band itu di sana.

“Itu kata orang. Sebenarnya bukan begitu,” kata Ariel dalam temu bual bersama RAP beberapa jam sebelum konsert itu.

Hakikatnya, peminat muzik di Indonesia kini mengakui Noah adalah band nombor satu dan paling mahal di negara jiran itu.

Dalam kedudukan sekarang, mereka sudah mengambil alih tempat band senior di sana antaranya Slank, Gigi, Sheila On 7, Naif dan Dewa 19.

Sejak 2012, Noah sudah memiliki tiga album studio iaitu Seperti Seharusnya, Second Chance dan Sings Legends apabila mereka menyanyikan semula lagu daripada penyanyi legenda Indonesia.

Untuk rekod, Noah pernah mengadakan persembahan di KL Live pada 2012 dan konsert yang dihadiri lebih 30,000 penonton di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 2006 ketika dikenali sebagai Peterpan.

Disiarkan pada: September 22, 2017 @ 2:04am
d