rap

Impian jadi nyata

Oleh Syanty Octavia Amry

Diberi kesempatan menghasilkan single pastinya peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan. Itulah yang dirasai pelakon Lia Natalia.

Baginya, tiada niat untuk mengikut jejak rakan pelakon yang lain yang beralih ke bidang nyanyian. Malah tegasnya, minat menyanyi sudah ada sejak kecil.

Bakal tampil dengan single pertama tahun depan, Lia mengakui jiwanya meminati muzik rancak seperti ‘catchy’ dan dangdut.

“Sejak kecil saya memang suka menyanyi tetapi rezeki lebih kepada lakonan. Apabila sudah berlakon, bidang ini juga menjadi sebahagian daripada jiwa saya.

Tapi apabila mendapat peluang merakamkan lagu, saya terus ambil kerana bukan selalu dapat,” katanya.

Bagaimanapun, kata Lia, perkara itu masih dalam perbincangan dan berharap ia dapat dilancarkan selewat-lewatnya tahun depan.

Katanya, buat masa ini dia masih mencari komposer yang boleh menghasilkan lagu dangdut seperti penyanyi Amelina.

“Saya memang suka muzik rancak terutama dangdut. Tetapi bukanlah dangdut yang ‘over’ sebaliknya lebih santai seperti dangdut yang dinyanyikan Amelina.

“Jika sekarang kita seperti kembali ke lagu cinta 90-an, apa salahnya saya cuba tampil dengan dangdut 90-an pula,” katanya.

Dalam pada itu, Lia menegaskan dia mencuba bidang baru bukan kerana lakonan sudah tidak laku tetapi dia beranggapan seperti merealisasikan impiannya sejak kecil.

Katanya, tawaran masih ada dan dia juga berlakon seperti biasa tetapi peluang menyanyi dianggap impian menjadi kenyataan.

“Sejak kecil bercita-cita jadi penyanyi, baru kini menjadi kenyataan. Di samping itu, saya juga mahu mengembangkan karier seni selain lakonan.

“Selagi diberi peluang, apa juga perkara saya ingin cuba lakukan. Lagipun, saya menyanyi sekadar suka-suka untuk menghiburkan peminat dan bukannya untuk bersaing dengan mana-mana penyanyi sedia ada,” katanya.

Selain bakal tampil single, filem lakonan Lia berjudul Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali bakal ditayangkan di pawagam pada 30 November ini.

Lia juga bakal tampil dengan filem ketiganya pada Januari tahun depan berjudul Busker berganding dengan Daiyan Trisha dan Hafiz Mikail.

Disiarkan pada: September 23, 2017 @ 12:02am
d