rap

Tanda tanya hubungan Ranbir, Mahira

Oleh Nor Akmar Samudin

Sebaik saja gambar Ranbir Kapoor dan pelakon Pakistan, Mahira Khan merokok di tepi jalan raya di New York, Amerika Syarikat (AS) menjadi tular di laman sosial Jumaat lalu, ia terus mendapat pelbagai respons daripada rakan artis.

Ada yang menyebelahi Mahira, namun ada yang menganggap sikap pelakon itu amat memalukan apatah lagi dia beragama Islam.

Hindustan Times Daily turut mendapatkan komen bapa Ranbir iaitu pelakon veteran, Rishi Kapoor mengenai perlakuan anaknya itu.

“Saya ternampak gambar mereka di Twitter. Ranbir seorang bintang muda dan belum berkahwin, jadi dia boleh keluar dengan siapa saja. Saya tak boleh nak cakap apa-apa,” katanya.

Menurutnya, daripada satu gambar saja sukar untuknya mengatakan apakah situasi sebenar Ranbir dan Mahira.

“Mungkin mereka berdua terserempak di luar restoran atau premis yang dilarang merokok kerana kerana kerajaan AS mengenakan peraturan ketat tidak boleh merokok di tempat awam,” katanya.

Sementara itu, pelakon Zareen Khan tidak bersetuju apabila ramai mengecam Mahira.

“Jangan kerana dia seorang wanita, berpakaian pendek, seorang Muslim dan berasal dari Pakistan, anda semua mengutuknya.

“Setiap orang ada kehidupannya sendiri dan jangan begitu cepat menghukum. Lebih baik kita jaga hal kita sendiri kerana tiada manusia yang sempurna,” katanya.

Dalam pada itu, apabila mendapat tahu gambarnya bersama Mahira merokok heboh diperkatakan di Bollywood, Ranbir mengeluarkan kenyataan rasmi yang dia mula mengenali Mahira beberapa bulan lalu.

“Saya mengagumi Mahira di atas pencapaian kerjaya dan peribadinya. Janganlah menghukum dia kerana dia seorang wanita. Itu memang tidak adil,” katanya.

Bagaimanapun, sejauh mana rapatnya hubungan mereka, kita tunggu dan lihat. Sebelum ini Ranbir pernah bercinta dengan Katrina Kaif tetapi putus kerana hubungan mereka tidak direstui ibunya yang juga pelakon, Neetu Singh.

Disiarkan pada: September 26, 2017 @ 2:44am
d