rap

Pulut kuning ikon wanita

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kecekalannya sebagai wanita dan ibu sememangnya tidak dapat disangkal. Walaupun sibuk dengan kerjaya sebagai pelakon dan ahli perniagaan, Zarina Zainuddin tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga tercinta.

Perkongsiannya di Instagram juga menerima pelbagai reaksi daripada masyarakat, sekali gus ramai menjadikannya sebagai contoh.

“Ramai yang melihat dan memberikan pelbagai reaksi apabila saya kerap berkongsi pengalaman membesarkan dua anak autisme di Instagram.

“Ada juga ibu bapa yang datang dan bertemu saya. Mereka minta saya berkongsi tip menguruskan anak-anak istimewa ini,” katanya.

Walaupun pasangan kembar, Muhammad Razil Azrai (Azil) dan Muhammad Raizal Azrai (Azal), 21, anak istimewa, dia mahu dua puteranya itu menjalani kehidupan seperti orang lain.

“Dari segi perilaku, mungkin mereka berbeza. Namun, saya tak mahu jadikan itu sebagai alasan untuk membiarkan mereka hanya duduk di rumah.

“Saya mahu mereka menjalani kehidupan seperti orang normal lain. Kalau saya ke majlis atau ada sesi penggambaran, saya bawa mereka bersama,” katanya.

Kata Zarina, walaupun perlu fokus pada anak-anak, dia masih ada masa terluang mengendalikan perniagaan.

“Saya berniaga pulut kuning dan produk kosmetik. Alhamdulillah, kedua-duanya dapat sambutan.

“Sedikit sebanyak, ia dapat dijadikan sumber kewangan di samping kerja lakonan,” katanya.

Kerana kecekalannya itu juga, Zarina diangkat sebagai ikon wanita untuk acara Variation Zone Festival yang berlangsung pada 13 hingga 17 Disember depan.

“Acara itu membabitkan peniaga yang dikumpulkan di lokasi The Strand, Kota Damansara.

“Selain ada 150 gerai untuk aktiviti jual beli, pengunjung dapat menyertai pelbagai aktiviti dan saya dilantik menjadi ikon peniaga wanita,” katanya.

Zarina berkata, dia ingin membuktikan wanita juga mampu berjaya dalam dunia perniagaan.

“Sebagai wanita, kita tidak semestinya sekadar mengharapkan duit poket daripada suami. Kalau ada masa terluang, sertai dunia perniagaan.

“Menerusi perniagaan pulut kuning, saya dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada wanita yang berminat menjadi ejen jualan,” katanya.

Disiarkan pada: September 27, 2017 @ 7:57am
d