rap

Pendamai dalam Kesultanan Melaka

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Tun Kudu anak Bendahara Seri Wak Raja, adik kepada Tun Perak dan permaisuri kepada Sultan Muzaffar Shah dalam Kesultanan Melaka.

Beliau kemudian diceraikan sultan dan dikahwinkan dengan seorang pembesarnya, Tun Ali. Perkahwinan itu berjaya menyelesaikan konflik dalaman istana antara Tun Ali dengan Tun Perak.

Dengan itu peranan Tun Kudu adalah sebagai pendamai antara Tun Perak dan Tun Ali. Tun Kudu juga memainkan peranan supaya Tun Perak dilantik menjadi Bendahara Melaka.

Kisah yang menarik ini diterjemahkan Persatuan Teater Malaysia (PTM) menerusi pementasan teater berjudul Tun Kudu 30 September hingga 1 Oktober ini di Auditorium Kompleks JKKN, Jalan Tun H S Lee, Kuala Lumpur jam 3 petang dan 8.30 malam mulai esok hingga Ahad ini.

Pementasan itu juga mendapat sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) dan Kelab Kebudayaan dan Kesenian Putrajaya.

Skrip Tun Kudu ditulis Sakrani Shamsuddin yang juga bertindak selaku pengarah.

Dia memilih menampilkan barisan pelakon berpengalaman di pentas teater seperti Dior Shahril sebagai Sultan Muzaffar Syah, Ain Sufia Othman (Tun Kudu), Rosli Rahman Adam (Tun Ali), Din Sitara (Tun Perak), Neo Ibrahim (Datuk Seri Amerta), Khairul (Bentara), Filzah Azmi (Mak Inang) dan Rozita Rohaizad (Kembang Cina).

Sakrani bukanlah asing di pentas teater kerana bergelar sifu atau ‘tukang’ profesional bagi persembahan pentas teater dan produksi TV dan filem sejak 20 tahun lalu.

“Teater Tun Kudu dipilih kerana saya ingin mengembalikan suasana teater era 1980-an. Ketika itu drama sebabak dan purbawara banyak dipentaskan dengan tenaga produksi yang kecil dan ruang pentas yang bersesuaian.

“Persembahan Tun Kudu adalah yang kedua bagi mengisi Siri Panggung Drama 2017 daripada lima persembahan yang dipilih untuk membuat persembahan di Auditorium JKKN WPKL,” kata Sakrani.

Menurutnya, pelakon yang dipilih pula adalah yang paling layak tampil dalam Tun Kudu kerana mengambil kira pelbagai faktor.

“Gabungan golongan Gen Y seperti Dior dan Ain Sufia digandingkan dengan pelakon berpengalaman seperti Rosli Rahman Adam dan Neo Ibrahim bagi menarik penonton. Tak ketinggalan penyanyi Rozita Rohaizad turut diundang berlakon.

“Pemilihan mereka juga amat bertepatan kerana Teater Tun Kudu memerlukan pelakon yang boleh menyanyi, berlakon, menari, berlawak jenaka dan bersilat,” katanya.

Sebelum ini Sakrani pernah mengarahkan teater sebabak Dia Panggil Abang dan Bangsawan Cinta Puteri Mekar Mewangi Layu Tak Berseri pada 2012.

“Agak lama juga saya berehat daripada pengarahan. Oleh itu, peluang ini akan digunakan sebaik-baiknya bagi menghasilkan sebuah persembahan mantap.

“Melihatkan pada sambutan terhadap teater terdahulu, saya percaya minat penonton terhadap genre teater semakin meningkat,” katanya.

Tiket untuk menonton Tun Kudu berharga RM20 dan boleh didapati di kaunter Auditorium Kompleks JKKN WPKL, Jalan Tun H S Lee pada hari pementasan.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 3:50am
d