rap

5 Da'i terima biasiswa

Oleh Ramlah Zainal

Kejayaan program realiti keagamaan Da’i Pendakwah Nusantara musim kelima turut menarik pihak Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU) untuk menaja biasiswa buat lima finalis menyambung pengajian mereka di institusi berkenaan.

Tiga finalis yang mendapat biasiswa penuh ialah Nur Afiqah Mahmud (Da’i Afiqah), Muhammad Luqman Hakim Lokman (Da’i Hakim) dan Muhammad Fahmi Zulkifly (Da’i Fahmi).

Manakala, dua lagi finalis yang akan mendapat separuh daripada biasiswa ialah Aiman Sufyan Aezman (Da’i Aiman) dan Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah (Da’i Syafiqah).

Penerbit Eksekutifnya, Ruzmi Kamaruddin berkata, ia pertama kali MEDIU bekerjasama dengan program Da’i Pendakwah Nusantara terbitan Primeworks Studios itu.

“Selain mengeluarkan produk dan saluran hiburan, kami juga ingin menampilkan program dan menjadi medium dakwah kepada penonton.

“Kami berharap kerjasama dengan MEDIU diteruskan pada masa akan datang untuk memantapkan lagi prestasi bahasa Arab peserta Da’i,” katanya.

Majlis penyampaian biasiswa dan sijil penyertaan bahasa Arab kepada finalis disempurnakan Timbalan Rektor MEDIU, Profesor Dr Ab Rahim Ismail.

Ruzmi berkata, pihaknya juga melihat sumbangan dan tajaan daripada MEDIU juga lebih besar dari segi ilmu dan nilainya kepada finalis Da’i.

“Rata-rata peserta Da’i ada asas pengajian Islam, tetapi mereka tidak mengkhusus dalam bahasa Arab.

“Semoga finalis Da’i yang berjaya mendapat biasiswa di MEDIU akan meneruskan lagi ilmu dan pengajian bahasa Arab di universiti ini,” katanya.

Tiga finalis dapat biasiswa penuh

Bagi Afiqah pula dia memang menanti peluang untuk menyambung pengajian dalam jurusan Psikologi di MEDIU nanti.

“Saya sangat bersyukur kerana berjaya mendapat biasiswa penuh daripada MEDIU.

“Insya-Allah, selepas tamat pengajian di Universiti Sains Islam Malaysia, saya akan meneruskan pengajian di MEDIU dalam bidang psikologi,” katanya.

Mengenai persiapan pentas akhir Da’i pula, kata Afiqah, dia mengakui persaingan sengit dengan dua lagi finalis.

“Saya akan berusaha mengatasi perasaan gementar di pentas dan kelebihan saya dalam memasukkan fakta ketika berhujah nanti.

“Hakim paling memberikan saingan kerana dia mampu buat secara spontan dan Fahmi pula memiliki kelebihan pada taranum,”katanya.

Finalis dari Selangor, Hakim, 22, pula menanti peluang untuk menyambung pengajian peringkat sarjana di MEDIU.

“Selepas menamatkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Sains Islam Malaysia, saya ingin menyambung pengajian bahasa Arab di MEDIU yang antara universiti terbaik untuk bahasa Arab,î katanya.

Ditanya persiapan untuk pentas akhir Daíi pula, kata Hakim, dia akan memantapkan lagi persembahannya,

“Saya akan pastikan tidak buat sebarang kesilapan kerana dua lagi finalis juga memiliki peluang untuk bergelar juara,î katanya.

Finalis paling muda, Fahmi dari Melaka juga berhasrat untuk menyambung pengajian dalam jurusan bahasa Arab di MEDIU nanti,

“Buat masa ini, saya perlu menamatkan pengajian di Kolej Pengajian Islam di Johor.

“Mengenai pentas akhir Daíi pula, saya berasa tekanan kerana dua lagi finalis adalah mereka yang terbaik,”katanya.

Program ini dihoskan Datuk Rosyam Noor selaku pengacara utama dan Zainal Ariffin Ismail selaku pengacara bersama Daíi Pendakwah Nusantara.

Pentas akhir Dai Pendakwah Nusantara musim kelima bersiaran secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam jam 9 malam, Ahad ini.

Disiarkan pada: September 29, 2017 @ 3:53am
d