rap

Sibuk dengan kerjaya wartawan

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Sedekad lalu, Zehra Zambri, 30, antara penyanyi wanita yang sering mendapat tempat dalam dunia muzik tempatan.

Lagu seperti Semalakama, Tari Sahara, Malam Yang Ganjil dan Tak Berubah berjaya memberi ruang indah buat Zehra.

Malangnya, selepas muncul dengan tiga album dan kali terakhir pada 2010, penyanyi itu mulai ‘diam’ seolah-olah merajuk.

Hang Pi Mana? minggu ini bertanya khabar penyanyi yang kini bergelar wartawan dan pembaca berita di Unit Berita, RTM.

“Ikutkan selepas muncul dalam program Ikon Siarawan tahun lalu, saya terus berkhidmat di Unit Berita RTM. Jadi pada masa ini saya fokus di situ saja.

“Di situ, saya bertugas sebagai wartawan penyiaran, pengacara SPM (Selamat Pagi Malaysia) dan membaca berita,” katanya.

Pada awalnya, dia berharap ditempatkan ke unit hiburan kerana pengalaman lalu sedia ada. Tetapi mungkin disebabkan pihak majikan melihat kekuatannya pada sisi berita, Zehra mengambilnya di sudut positif.

Katanya, sekurang-kurangnya dia dapat menempuh dunia baru yang lebih besar dan luas berbanding hanya dunia hiburan.

Zehra akui masih menerima undangan persembahan cuma tidak serancak dahulu. Andai ada jemputan, dia akan membahagikan masa tanpa ketepikan tanggungjawab sebagai wartawan penyiaran.

Katanya, masih ada peminat yang mahu mendengar nyanyiannya apatah lagi dia bermula sebagai penyanyi. Disebabkan itu, dia menolak dakwaan segelintir pihak sudah berhenti menyanyi.

Tawaran tidak pernah kurang sebaliknya disebabkan sering ‘on-off’ dalam bidang seni, dia dikaitkan sudah bersara.

“Sebelum ini pula saya sibuk belajar sehingga ke peringkat ijazah tertinggi. Ada juga pengikut tanya pasal lagu baru.

“Sejujurnya saya melihat industri agak tenat dan kalau buat ‘comeback’, kena keluar dengan lagu yang terkini. Ada juga kata bekerja di RTM peluang lebih luas tapi ia tidak semudah disangka,” katanya.

Rindu dunia nyanyian

Jauh dalam sudut hati, Zehra akui sangat merindui dunia nyanyian. Tahun lalu apabila diberi peluang membuat persembahan peringkat akhir Bintang Klasik, dia memberi sepenuh jiwa untuk ‘lepas gian’.

Persembahan itu berjaya mengembalikan semangatnya untuk terus kekal dalam bidang nyanyian.

Zehra tidak nafikan perlu kembali dengan single baru agar tidak sepi. Cuma fokusnya kini pada kerjaya yang dilakukan sekarang.

Zehra memilih untuk bekerja di RTM kerana mahu mengguna pakai ilmu yang sudah dipelajari ketika mengambil pengajian komunikasi dulu.

Selain itu, dia juga menyimpan hasrat untuk menjadi tenaga pengajar dalam bidang komunikasi pada masa depan.

“Kalau ada rezeki, saya nak sambung ke peringkat PhD. Sebab itu saya perlukan pengalaman bekerja dalam bidang ini agar mempunyai ilmu di segi teori dan praktikal. Ia buatkan kemahiran dan ilmu lebih kukuh,” katanya.

Disebabkan itu, Zehra cuba mencari pengalaman dalam bidang penyiaran dalam jangka masa tiga atau lima tahun sebelum beralih ke bidang pendidikan.

Zehra tidak menolak kemungkinan kembali ke persada seni dengan menghasilkan single baru yang bersesuaian dengan kehendak semasa.

Katanya, walaupun mula muncul dengan genre pop dan kemudian etnik kreatif, dia berkemungkinan muncul dengan genre balada atau pop yang lebih ‘jiwang’.

Ditanya kenapa tidak mahu mengekalkan genre etnik kreatif selepas berjaya mencipta sejarah peribadi di Anugerah Juara Lagu ke-21 melalui lagu Semalakama, Zehra ada pendapat sendiri.

Telahnya, irama itu agak sukar menembusi pasaran masa ini. Ditambah pula pengalaman dua single irama itu yang tidak mendapat sambutan.

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 2:51am
d