rap

Tiada orang boleh ganti Giring

Oleh Payatt

Apabila penyanyi band popular Indonesia, Nidji iaitu Giring Ganesha mengumumkan meninggalkan band itu dan aktif sebagai ahli politik, ramai yang tertanya-tanya apa nasib anggota band itu?

Adakah Nidji yang popular dengan lagu Hapus Aku dan Laskar Pelangi itu akan dibubarkan?

Pengurusnya, Gio Wibowo berkata, Nidji yang turut dianggotai Andro (bass), Run-D (keyboard, synth), Rama (gitar), Ariel (gitar) dan Adri (dram) tidak akan dibubarkan tetapi cuma ‘direhatkan’.

“Semua anggota Nidji berasakan tidak ada pengganti yang layak mengambil tempat Giring. Tak mungkin orang lain akan menjadi penyanyi Nidji.

“Jika sekarang dia (Giring) sibuk, silakan. Kami akan berhenti dulu,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Gio, semua anggota Nidji yang lain tidak akan duduk diam, sebaliknya mereka kini tampil dengan ‘band projek’ yang dinamakan Nidji Electronic Version Plus (NEV+).

Menurut Gio, NEV+ tidak memiliki penyanyi tetap, sebaliknya akan menggunakan mana-mana penyanyi yang sesuai dalam setiap persembahan mereka.

Antara yang pernah membuat persembahan mereka ialah bekas penyanyi Samsons, Bams dan penyanyi Noah, Ariel.

“Ia adalah kerjasama daripada penyanyi band lain, trio atau duo yang popular. Kami mahukan penyanyi yang sehebat Giring untuk NEV+.

Setakat ini, NEV+ membawakan lagu Nidji yang diremix. Selain itu mereka juga akan membawakan lagu penyanyi yang bersama mereka dalam versi remix.

Menurut Gio, NEV+ ditubuhkan sejak tiga tahun lalu dengan nama NEV ketika Giring masih bersama Nidji.

“Ia bukan Plan B jika Giring tiada, tetapi band ini memang sudah ada. Jadi, apabila Giring sudah tiada, ia menjadi NEV+. Konsep muzik NEV+ juga berbeza dengan lagu Nidji,” katanya.

Gio berkata, ketika ditubuhkan, NEV+ cuba menghasilkan revolusi muzik dengan menjadikan muzik Nidji dalam versi elektronik.

“Ketika itu ia hanya tampil untuk persembahan tertentu saja. Kini, NEV+ tetap akan membawakan lagu Nidji dan lagu milik penyanyi yang dijemput menjadi penyanyi mereka,” katanya.

Sementara itu, Giring yang aktif sebagai ahli politik dikatakan bakal dicalonkan sebagai anggota DPR RI dari Partai Solidaritas Indonesia (PSI).

Disiarkan pada: September 30, 2017 @ 3:00am
d