rap

SuJu buat konsert

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Selepas dua tahun, kumpulan ‘megastar’ Super Junior (SuJu) akan kembali dengan konsert ‘Super Show’ pertama sejak 2015.

Pada 28 September lalu, agensi mereka mendedahkan, Super Junior 7 akan diadakan pada Disember ini menjadikan ia konsert solo pertama mereka selepas konsert Super Show 6 pada Julai lalu.

Konsert itu akan diadakan di Stadium Tertutup Jamsil di Seoul pada 16 dan 17 Disember depan, sebagai meraikan ulang tahun ke-12 mereka dalam industri K-Pop dengan album baru.

Perkara itu disahkan melalui media sosial mereka, Selasa lalu. Pada hari itu, mereka berkongsi logo yang akan digunakan untuk album baru berjudul SJ Returns beserta dengan kiraan yang turut muncul di dalam laman sesawang mereka.

Kiraan yang berakhir pada 6 November, SuJu mendedahkan album terbaru mereka sebagai meraikan ulang tahun ke-12 SuJu selepas muncul pada 2005 melalui album Twins (Knock Out).

Kemunculan album terbaru ini juga dua tahun selepas kali terakhir SuJu muncul sebagai kumpulan menyaksikan kehadiran album ke-10, Devil diikuti album dikeluarkan semula, Magic.

Sebelum ini, anggota SuJu sering memberi bayangan mengenai ‘comeback’ terbaru melalui media sosial. Situasi itu membuatkan peminat mula membuat spekulasi mengenai kumpulan Kpop kesukaan mereka.

SuJu akan kembali dengan tujuh anggota, Leeteuk, Heechul, Yesung, Shindong, Siwon, Eunhyuk dan Donghae.

Dua ahli SuJu lain, Ryeowok dan Kyuhyun sedang menjalani khidmat wajib tentera. Manakala dua ahli lagi, Kangin dan Sungmin berehat berpunca daripada isu negatif lalu.

Diikutkan, ada dua lagi ahli iaitu Zhou Mi dan Henry tetapi mereka hanya muncul secara separuh masa untuk pasaran album Mandarin. Tambah pula mereka juga sibuk dengan kerjaya solo masing-masing.

Imbas kembali, SuJu mulai hit pada 2009 selepas lagu Sorry Sorry menjadi tular. Sedari itu, mereka berjaya mengubah persekitaran muzik pop Korea terutama berentak muzik tari yang lebih bergaya.

Kematangan mereka turut dilihat pada single masing-masing dengan ketengahkan bunyi pelbagai dan pilihan yang luas.

Dikenali sebagai penghibur serba boleh, SuJu juga berjaya menarik perhatian ramai melalui pelbagai ruang lain dalam bidang hiburan.

Mereka juga berjaya mengekalkan populariti dan kekal aktif biarpun sudah 10 tahun berada di dalam industri.

Perkembangan lain, bagi memenuhi peluang muncul semula, Shindong mula menjalani proses diet sihat.

Dia berkongsi perkara itu di laman sosial dengan meminta peminat dapat beri sokongan kepadanya untuk melalui proses diet itu.

Difahamkan, Shindong mengambil makanan tambahan berunsurkan serat bagi mempercepatkan proses menurunkan berat badan.

Rakannya pula, Donghae baru saja dilantik sebagai duta kehormat Yayasan Leukemia Kanak-kanak Korea pada 21 September lalu.

Pelantikan sebagai duta itu berlangsung di Hospital Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Seoul.

“Saya akan membantu menyebarkan kesedaran terharap kanser dalam kalangan kanak-kanak dan kepayahan dilalui keluarga mereka agar lebih banyak pihak dapat menghulurkan bantuan,” katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2017 @ 2:25am
d