rap

Siti belum merudum

Oleh Najiy Jefri

KEPUTUSAN penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza berehat seketika daripada kerjaya nyanyiannya bukan bermakna popularitinya sudah merudum seperti tanggapan segelintir pihak.

Pengurusnya, Rozi Abdul Razak berkata, dia ada berjumpa dengan Siti yang juga adik iparnya itu semalam dan penyanyi itu tahu ramai peminat merinduinya.

"Saya menafikan kata-kata orang mendakwa populariti Siti sudah jatuh, tak dapat sambutan, tidak relevan dan sebagainya. Janganlah menghakimi beliau kerana empunya diri berhak untuk memilih masa untuk dirinya,” katanya.

Menurut Rozi, dalam tempoh 21 tahun kerjayanya Siti tidak pernah bercuti lebih daripada sebulan.

Terdahulu, Rozi memuat naik gambar dia memasak bersama Siti di Instagram kerana ramai peminat bertanya mengenai Siti.

"Saya sekadar berkongsi untuk tatapan peminat yang merindui dan bertanya khabar Siti.

"Walaupun beliau berehat seketika daripada aktiviti seni tetapi aktiviti mencari lagu, album dan perniagaannya masih berjalan seperti biasa," katanya.

Disiarkan pada: October 3, 2017 @ 6:18pm
d