rap

Opick bawa muzik berbeza

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Lagu nyanyian Opick seperti Rapuh, Dealova dan Bila Waktu bukanlah asing dalam kalangan pencinta muzik di negara ini.

Bahkan Malaysia sendiri ibarat rumah kedua pemilik nama sebenar Aunur Rofiq Lil Firdaus, 43, ini apabila sering diundang menjayakan konsert ataupun persembahan di acara eksklusif.

Penyanyi lagu kerohanian ini aktif menghasilkan album dan terbaru tampil dengan buah tangan ke-19 berjudul Allah Bersamamu yang diterbitkannya sendiri.

Kali ini Opick mempertaruhkan lagu antaranya Di Pintu CintaMu, Allah Bersamamu, Ku Temukan Cinta dan Kau Cahaya.

“Alhamdulilah album terbaru ini lebih universal, terarah kepada pop dan cara nyanyian saya lebih moden berbanding sebelumnya.

“Muziknya juga berbeza daripada album terdahulu yang lebih segar. Selain itu, saya menjalin kerjasama dengan Monkey Bone sebagai pengedar digital serta PMP Entertainment selaku pengedar fizikal di Malaysia,” katanya pada sidang media kelmarin.

Opick berkata, album bertemakan kemanusiaan itu mengambil inspirasi penindasan yang berlaku di seluruh dunia antaranya Rohingya, Syria dan Palestin.

“Proses rakaman dan keseluruhannya mengambil masa selama lapan bulan untuk disiapkan. Allah Bersamamu ini mengupas kehidupan manusia apabila kita semua pernah berdepan duka dan derita.

“Saya ingin memberi semangat kepada mereka yang diuji agar ingat Allah sentiasa ada bersama kita. Allah tidak pernah melupakan hamba-Nya walau apa pun keadaan mereka,” katanya yang sudah melancarkan album itu di Indonesia, Jun lalu.

Opick banyak mengembara antaranya ke Gaza dan Syria serta berpeluang mendekati penduduk negara itu yang hidup dalam penderitaan.

“Saya beritahu mereka, Allah bersamamu dan setiap luka kamu hari ini, derita kamu hari ini adalah sejadah cinta kamu kepada Allah.

“Bulan depan saya akan ke Myanmar, Disember ke Syria, Lubnan dan Jordan untuk program kemanusiaan. Alhamdulillah saya mempunyai wang terkumpul daripada konsert yang diadakan apabila dengan wang ini saya akan beli makanan dan ubat-ubatan buat mereka,” katanya yang akan berangkat ke negara itu dengan satu pasukan khas.

Selain hasil kutipan tiket, dana juga diperoleh menerusi jualan pakaian seperti serban dan baju miliknya sendiri dalam siri konsert yang diadakan.

Opick mengakui bukan mudah menghasilkan album kerana dia perlu memberikan sesuatu yang segar dan lebih bermutu.

“Kadangkala saya berhijrah ke Madinah dan Makkah untuk tinggal seketika. Di sana saya cari idea dan ilham untuk menulis lagu.

“Saya juga suka berjalan-jalan untuk melihat keadaan masyarakat, orang miskin dan bencana yang melanda. Ini semua pencetus idea untuk menghasilkan lagu,” katanya.

Ramai sedia maklum Opick selesa menyanyikan lagu ciptaan dan liriknya sendiri.

Bukan bermaksud dia sombong tetapi ia lebih memberikan kepuasan dan keselesaan buat dirinya berbanding menyampaikan lagu ciptaan orang lain.

“Seingat saya hanya pada awal kemunculan saja bekerjasama dengan beberapa rakan pemuzik. Selepas itu saya selesa buat sendiri sepenuhnya.

“Saya belum pernah menyanyikan lagu orang lain. Bukan kerana tidak suka tetapi ia bukan jiwa saya. Apa yang saya sampaikan adalah mimpi, luka, kegelisahan dan air mata saya kepada pendengar,” katanya yang bercadang mengadakan konsert di Malaysia pada Disember ini.

Opick sebelum ini pernah menghasilkan lagu Aku Bukan Malaikat nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.

Disiarkan pada: October 4, 2017 @ 11:23am
d