rap

Murni sebuah persahabatan

Oleh Georgie Joseph

Tidak dinafikan filem mengisahkan anggota polis sangat menarik untuk diketengahkan.

Pelbagai sisi berbeza boleh dipaparkan, sekali gus memartabatkan kerjaya itu sendiri.

Bagaimanapun, menerusi filem dari Korea Selatan, Midnight Runners arahan Kim Joo-hwan, ia memfokuskan kepada pelatih polis.

Mula ditayangkan di pawagam seluruh negara sejak semalam (5 Oktober), ia sebuah lagi naskhah menghiburkan dari negara itu yang patut ditonton.

Dibintangi Park Seo-joon sebagai Ki-joon dan Kang Ha-neul (Hee-yeol), hala tuju filem ini ada keunikan tersendiri. Lebih penting, mesejnya cukup jelas selain momentum ceritanya meyakinkan.

Secara jujur, ia bukan sebuah cerita yang menampilkan kelainan luar biasa. Lebih kepada elemen realistik, kekuatan utamanya terletak pada nilai positif yang digambarkan pada watak.

Namun istimewanya, ia mengambil situasi dua pelatih polis yang belum tamat pengajian. Ia cukup sempurna untuk menggabungkan elemen komedi, thriller dan aksi.

Permulaan ceritanya diolah dengan begitu meyakinkan tanpa meleret dan membuatkan penonton tidak bosan. Bahkan, sejak awal elemen komedi realistik yang disuntik begitu menghiburkan.

Demikian juga perincian sudut teknikal seperti landskap bangunan serta sinematografi begitu rapi. Ia menjadikan lakonan mereka sebagai pelatih polis cukup bertepatan.

Walaupun transisi masanya digambarkan dalam beberapa tahun, plotnya tetap tidak longgar. Pengarah benar-benar membuatkan transisi itu dilaksanakan dengan sempurna.

Kredit perlu diberikan kepada dua pelakon berkenaan yang begitu serasi menjadikan persahabatan mereka lebih realistik. Tidak dibuat-buat, ia membuatkan penonton dapat merasai sendiri keakraban mereka.

Berpadanan dengan watak mereka sebagai pelatih polis yang belum mengenal dunia luar, lenggok tubuh dan ekspresi naif juga menghidupkan dua watak berkenaan.

Ketika aksi melawan orang jahat, mereka tidak digambarkan sebagai lelaki yang handal. Semestinya cukup logik kerana musuh yang dihadapi Ki-joon dan Hee-yeol adalah ramai serta mahir dalam pertarungan.

Filem ini mungkin ringan dan terlalu lurus, tetapi pengarah bijak memasukkan elemen membabitkan emosi. Banyak juga babak yang mampu membuatkan penonton tersentak terutama persahabatan dua pelatih yang hanya kenal antara satu sama lain selepas dipertemukan di universiti polis itu.

Daripada usik-mengusik, mereka akhirnya menjadi seperti adik-beradik.

Lebih menyentuh hati apabila Ki-joon sanggup meletakkan risiko dalam pengajiannya demi membantu Hee-yeol. Walau apa yang terjadi, dia tetap mendahulukan sahabatnya itu.

Demikian juga Hee-yeol ketika hampir dibunuh gengster, dia sanggup melindungi dan menyuruh Ki-joon lari meninggalkannya.

Betapa murninya sebuah persahabatan itu berjaya dilunaskan dengan baik dalam filem ini. Walaupun idea berkenaan mungkin basi, tapi tidak menerusi Midnight Runners.

Menyentuh mengenai kerjaya polis juga, mereka begitu patuh dengan segala ilmu yang dipelajari di universiti. Ki-joon dan Hee-yeol bukan suka-suka dan ikhlas menjadi anggota polis.

Penonton mungkin berasakan tindakan mereka cuba melanggar peraturan adalah kurang bijak. Tetapi, mereka lebih mengutamakan nyawa ramai yang menjadi mangsa kepada satu kejadian jenayah yang berlaku di depan mata mereka.

Dari sudut itu saja, jelas filem ini meninggalkan pengajaran yang perlu difikirkan dengan mendalam. Bagaimana jika ia berlaku dalam kehidupan dan apa tindakan terbaik mahu dilakukan?

Secara keseluruhan, filem ini ringan dan menghiburkan. Olahan sebuah kisah realistik yang membuatkan penonton kembali berfikir semula mengenai nilai sebuah kehidupan.

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 12:07pm
d