rap

Peluang bertemu Diana Chan

Oleh Michelle Gun

JUARA program realiti masakan MasterChef Australian musim kesembilan, Diana Chan akan bertemu dengan peminat pada sesi ramah mesra di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur jam 3 petang, esok.

Pada sesi itu, Diana, 29, yang membesar di Johor Bharu juga akan mengadakan sesi demonstrasi masakan istimewa bersama finalis MasterChef Asia, Jasbir Kaur dan Marcus Low. Diana yang kini menetap di Melbourne, Australia meluahkan rasa terharu di atas sokongan padu rakyat Malaysia.

"Saya terkejut apabila ramai orang Malaysia menghantar mesej sebagai tanda sokongan mereka," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut Diana, ibu bapanya tidak membenarkan dia memasak ketika remaja namun peluang itu datang selepas melanjutkan pengajian di Australia.

“Orang tua saya mahir menyediakan juada baba nyonya. Mereka hanya membenarkan saya membantu menyediakan bahan.

"Sewaktu di Australia, saya tertarik melihat produk makanan di sana dan mula belajar memasak dengan menonton program masakan," ujarnya.

Menerusi program realiti itu, Diana menewaskan Ben Ungermann, sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah wang tunai RM834,000.

Bagi pembaca yang tidak dapat menghadiri sesi ramah mesra esok boleh menyaksikan acara itu yang akan bersiaran secara langsung menerusi akaun rasmi Lifetime Asia di Facebook.

Saksikan semula perjalanan kemenangan Diana di MasterChef Australia musim kesembilan mulai 14 Oktober ini, jam 12 tengahari di saluran Lifetime.

Gambar Nurul Shafina Jamenon

Disiarkan pada: October 6, 2017 @ 7:32pm
d