rap

Muahciked: Berdebar nanti APM2017

Oleh Ayda Jebat

Rasa macam baru semalam adik menulis dalam ruangan ini dan hari ini kita bersua kembali. Masa memang mencemburui kita dan masa juga tidak menunggu kita.

Sebab itu ada pepatah mengatakan masa itu emas. Guna sebaik mungkin. Pejam celik pejam celik sekejap saja masa berlalu.

Oleh sebab itu, kita tidak boleh leka dan membiarkan masa berlalu tanpa berusaha untuk menjadi insan yang lebih baik.

Kalau adik, seperti biasa hujung minggu mestilah berharap dapat luangkan masa dengan orang tersayang. Ada ke orang yang tersayang? Hihi! Meminta juga ayat adik ini macam perangkap diri sendiri pulak rasanya.

Bercakap soal masa ini, luahan rasa hati dan kasih sayang itu penting selagi kita ada peluang, jangan sampai terlewat nanti.

Benda ini mungkin nampak remeh atau hal kecil, tapi percayalah ia memberi impak yang sangat besar dalam hidup.

Bukan antara pasangan kekasih tetapi juga keluarga dan sanak saudara. Luahan rasa saling menghargai akan membuatkan hidup kita lebih bermakna.

Adik rasa mesti ramai antara kita yang mempunyai masa terluang bersama keluarga ketika hari raya saja bukan?

Kalau boleh ambil kesempatan, kalau ada cuti tak salah untuk pulang ke kampung halaman. Buat kejutan dan bawalah buah tangan untuk mereka yang tersayang. Tak perlu mahal, janji ikhlas!

Kadang-kadang orang tua kita bukan nak kita hulur duit atau belikan hadiah, tapi setakat kita dah balik, peluk mereka, makan dengan mereka pun dah cukup buat mereka bahagia.

Daripada anda buang masa lepak tengok wayang dengan kekasih hati, apa kata bawak balik kekasih itu ke kampung, tengok sawah bendang dengan adik-beradik! Kan lagi manis.

Hihi... cakap pasal sawah ini teringat pula adik pada drama Rindu Awak 200%. Babak di sawah, eh tiba-tiba pula.

Adik harap apa yang adik cuba kongsikan ini dapat memberi sedikit peringatan dan manfaat kepada pembaca kolum ini.

Jangan tunggu apabila orang dah sakit, dah terlantar kat hospital baru nak pergi ziarah. Gunakan masa dengan sebaik mungkin!

Cakap juga fasal masa, adik memang dah tak cukup masa ni. Minggu depan debaran kencang di hati adik untuk persaingan Anugerah Planet Muzik 2017 (APM2017) yang akan berlangsung di Singapura.

Adik membuat persembahan pembukaan untuk anugerah berpestij itu. Teruja rasanya. Iyalah bukan calang-calang penyanyi yang dipilih buat persembahan pembukaan mahupun penutup.

Adik harap dapatlah kiranya buat yang terbaik untuk diri sendiri, peminat termasuk mengharumkan nama negara kita. Amin.

Apapun, masih sempat lagi untuk anda mengundi selebriti pilihan kerana tarikh tutup undian pada 14 Oktober ini.

Kepada semua Ayda Jebat Screamer (AJS) adik ucapkan terima kasih tidak terhingga kerana bertungkus-lumus mengundi. Kalau ada rezeki, insya-Allah. Kalau tak ada, kita cuba lagi pada 2018!

Juga tidak adik lupakan kepada yang sudi tweet #AydaJebatforMTVEMA, terima kasih tidak terhingga.

Walau tidak berjaya untuk ke peringkat seterusnya, adik puas hati kerana ada kesedaran daripada peminat dan masyarakat luar untuk tahu ada pesaing dari Malaysia. Insya-Allah, lain kali kita cuba lagi! Jangan putus asa. Adik akan terus usaha lagi buat anda semua berbangga.

Walaupun tak ada rezeki untuk MTV EMA 2017, mungkin rezeki adik pada perkara lain. Antaranya, adik tak sangka runut bunyi filem Pinjamkan Hatiku sudah mencecah lebih 1 juta tontonan dalam YouTube dalam masa tiga minggu.

Terima kasih juga kepada penganjur yang memberi peluang kepada adik untuk menyanyi di konsert ‘Finale Formula 1’ di Sepang baru-baru ini! Terasa diri adik sudah sampai ke tahap antarabangsa! Sempat berangan. #AydaWillMakeYouProud

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 2:01am
d