rap

Hanya ilusi kamera

Oleh Rudy Imran Shamsudin

Pelbagai cerita timbul apabila video aksi pelakon Janna Nick kononnya bercium dengan pasangannya dalam drama Coffee Prince, Fattah Amin yang dirakam temannya sewaktu penggambaran drama adaptasi popular Korea itu menular.

Ada yang mengatakan ia konspirasi untuk menjatuhkan pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Kau Aku Kita itu dan ada juga yang mengaitkan penularan video itu dengan strategi pemasaran pihak penerbitan dan penyiar drama Coffee Prince versi Malaysia.

Janna atau Nurul Jannah Muner sewaktu ditemui ketika Ramah Mesra bersama pelakon Dia baru-baru ini, menafikan wujud konspirasi untuk menjatuhkan dirinya, apatah lagi yang merakam dan menyiarkan video terbabit adalah rakan baiknya sendiri.

Begitu juga dakwaan ia adalah sebahagian strategi untuk memasarkan drama adaptasi itu kepada umum. Hakikatnya, video kononnya dia bercium bersama Fattah memberi impak negatif pada Coffee Prince versi Malaysia.

Tegas Janna, sebenarnya apa yang berlaku tidak disangka. Dia dan penerbit yang juga pengarah Coffee Prince, Michael Ang tidak sangka video berdurasi 15 saat itu menjadi isu sehingga menimbulkan kemarahan netizen.

“Sejujurnya perkara itu berlaku kerana aksi kami diambil daripada belakang dan penuh, sedangkan kalau hendak diikutkan, muka saya dan Fattah jauh dalam beberapa sentimeter.

“Saya sendiri sebagai pelakon, tahu tahap dan sejauh mana saya boleh buat sesuatu babak itu andai pelakon diperlukan untuk melakukannya. Buat apa saya mahu melakonkan perkara yang saya sendiri tidak bersetuju dan menganggap ianya salah.

“Cuma video itu diambil dari jauh dan penuh meng­gunakan telefon bimbit, jadi apabila dilihat umum, ia nampak seakan benar saya dan Fattah bercium. Hakikatnya tidak mungkin kami berdua akan berbuat demikian.

“Sebenarnya produksi drama itu sendiri merakam–kan babak itu jarak dekat, apabila penonton menyaksikan drama itu nanti, mereka akan tahu yang ianya adalah permainan kamera,” katanya.

Kata Janna, dia tidak marahkan kawannya yang merakam dan memuat naik ke laman sosial kerana semua orang tidak sedar yang perkara itu akan menjadi isu.

“Kawan saya juga memohon maaf kepada semua pihak dan video terbabit sudahpun dipadamkan,” katanya.

Bakal muncul dalam Dia yang menggabungkan pelakon Malaysia dan Indonesia dalam slot Akasia menerusi TV3, Janna menafikan dia tertekan apabila perkara itu menjadi isu.

Tegas Janna, perkara itu langsung tidak berlaku dan ia tidak bermakna sebagai pelakon dia menolak terus segala komen diberi.

“Sebenarnya, rakaman video yang dimuat naik kawan saya itu ke laman sosialnya tidak sepatut pun menjadi isu. Tambah pula watak saya sebagai Dani digambarkan sebagai budak lelaki tetapi watak lain dalam Coffee Prince tidak tahu yang saya perempuan.

“Babak itu juga dilakukan tanpa ada sebarang perasaan ghairah, romantis atau sebagainya. Babak itu sebenarnya humor dan kelakar. Kalau hendak kata salah, saya pernah juga buat babak yang rasanya lebih teruk daripada video itu.

“Sebelum ini ada watak saya dalam keadaan bersentuhan dan berpelukan. Namun, perkara seperti itu tidak pula mereka jadikan isu,” katanya.

Kata Janna, dia tidak mungkin dengan sengaja meminta rakannya merakamkan aksi terbabit dan meletakkan dalam laman sosial miliknya dengan harapan untuk mencipta kontroversi.

“Kenapa pula saya mahu mencipta kontroversi dan menggunakan laman sosial rakan saya. Kalau betullah saya sengaja hendak mencipta isu dan kontroversi, lebih baik saya minta pengurusan saya rakam dan saya masukkan dalam laman sosial saya sendiri.

“Apa yang saya dapat daripada kontroversi seperti itu kerana ia tidak membantu pun untuk saya pergi lebih jauh sebagai pelakon. Saya sendiri sebagai pelakon dan juga duta beberapa produk mahu me­ngelakkan daripada dikaitkan dengan kontroversi kerana ia boleh menjejaskan nama serta kerjaya,” katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2017 @ 2:19am
d