rap

10 lagu tak cukup!

Oleh Syanty Octavia Amry

Lama tidak mengadakan konsert di Malaysia, kemunculan kumpulan Ungu sangat dinantikan penonton.

Tatkala vokalisnya, Pasha tampil di pentas Stadium Malawati, Shah Alam Jumaat lalu, dewan gemuruh dengan sorakan dan tepukan.

Kumpulan ini hadir ke Malaysia untuk menjayakan Konsert Terunggul Afgan & Ungu.

Setiap sudut penuh dengan penonton, Ungu membuka tirai persembahan dengan lagu Hampa Hatiku kira-kira jam 9 malam.

Ungu yang turut dianggotai Makki (bass), Enda (gitar), Onci (gitar) dan Rowman (dram) turut menghiburkan penonton dengan himpunan lagu popular seperti Percaya Padaku, Andai Ku Tahu, Bila Tiba dan Kekasih Gelapku.

Malah mereka turut berduet bersama penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi pentas Akademi Fantasia, Idayu menerusi lagu Tercipta Untukku. Menghimpunkan lebih 10 lagu popular mereka, Ungu turut berduet dengan Afgan menerusi lagu Cinta Yang Lain.

Berkongsi perasaan mereka usai tamat konsert, Pasha berkata, dia tidak puas kerana hanya dapat menghiburkan penonton dengan 10 lagu.

“Agak lama kami tidak mengadakan konsert besar seperti ini di sini. Pastinya jika diberi peluang kami mahu menyanyikan lebih lagi lagu.

“Tetapi apa boleh buat, masa sangat terhad. Insya-Allah jika ada rezeki kami mahu mengadakan konsert di sini lagi,” kata Pasha.

Walaupun sibuk menceburi dunia politik sejak awal tahun lalu ia sama sekali tidak menghalang Pasha untuk aktif menyanyi bersama Ungu.

Pengalaman berpolitik membuatkan Pasha tampak lebih santai dan mesra ketika berbual dengan penonton.

“Kami sangat gembira dengan kehadiran peminat baru pada malam ini. Kalau boleh kami mahu sering datang ke sini lagi untuk mengadakan konsert,” katanya.

Selain Ungu, konsert itu dihangatkan dengan persembahan penuh bertenaga penyanyi berlesung pipit, Afgan Syahreza.

Masih penat kerana baru tiba dari Korea, ia bukan halangan untuk penyanyi berusia 28 tahun itu memberikan persembahan terbaik buat peminat setianya.

“Saya akui masih terasa penat tetapi kembali bersemangat selepas melihat sambutan hangat peminat.

“Rasa sangat puas kerana dapat menghiburkan mereka pada malam ini,” katanya.

Mengalunkan 12 lagu, Afgan berani mengambil risiko apabila mempertaruhkan lagu baru yang dimuatkan dalam album Sides.

Mengakui itu adalah pilihannya sendiri, Afgan mahukan kelainan kerana tidak mahu penonton asyik disajikan lagu sama.

“Memang saya pilih semua lagu pada malam ini kerana mahu peminat teruja,” katanya.

Pada malam itu, Afgan mempersembahkan lagu Rollercoaster, Pesan Cinta, Katakan Tidak, Jalan Terus, Kunci Hati, Bawalah Cintaku, X, Dia Dia Dia, Knock Me Out dan Inilah Masanya.

Selain itu, Afgan turut menyanyikan lagu wajibnya seperti Terima Kasih Cinta, Cinta Dua Hati, Jodoh Pasti Bertemu dan Percayalah secara medley.

Mengulas perasaannya berkongsi pentas dengan Ungu, Afgan berkata, ia adalah penghormatan buat dirinya kerana dapat bergandingan dengan band terkenal itu.

Menutup persembahannya pada malam itu, Afgan turut menghadiahkan penonton dengan lagu Bukan Cinta Biasa dan Panah Asmara.

Dalam perkembangan lain, Afgan berkata, tahun depan dia bakal menjayakan konsert di Malaysia sempena sedekad dalam industri seni.

“Saya tidak pernah serik mengadakan persembahan di sini demi peminat.

“Mereka tidak putus-putus menyokong pembabitan dan kehadiran saya di sini. Ini adalah hadiah saya buat mereka,” katanya.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 1:04pm
d