rap

Ismail Izzani tangguh bedah

Michelle Gun

PENYANYI Ismail Izzani terpaksa menangguhkan pembedahan membuang tonsil berikutan banyak undangan persembahan sehingga hujung tahun ini.

Ismail, 17, berkata, doktor menyarankan dia menjalani pembedahan segera kerana tonsil sudah teruk.

"Selepas berbincang dengan keluarga, saya mengambil keputusan untuk menangguhkan pembedahan ke tahun depan. Ini kerana selepas pembedahan, saya perlu berehat dari menyanyi selama empat bulan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurut penyanyi lagu Sabar dan Demi Kita ini, buat masa ini dia mengambil ubat selain menjaga pemakanan bagi mengelak masalah tonsil kembali.

"Walaupun kesihatan belum berpulih sepenuhnya, saya perlu memenuhi undangan persembahan di UiTM Puncak Alam esok.

"Saya tidak boleh batalkan kerana sudah bersetuju dengan penganjur sejak bulan lalu. Begitu juga dengan beberapa undangan lain yang akan datang," katanya.

Jumaat lalu, Ismail dimasukkan ke sebuah hospital swasta untuk merawat masalah tonsil dan dibenarkan pulang hari ini.

Disiarkan pada: October 9, 2017 @ 6:55pm
d